Bismillahirahmani Rahim. Sudah hampir 3 bulan tidak
menyinggahi dan mengemaskini blog ini, meskipun saya sudah mempunyai blog baru
yang lebih ke arah akademik dan berinfo. Tidak lagi merapu seperti di blog ini,
meskipun begitu saya masih rindu untuk merapu di sini. Kalu bercerita tanpa
seloka, pasti itu bukan saya. [hee]
Merapati di penghujung October ini, terlalu banyak cerita
duka yang menyebabkan saya kepenatan. [Penat dari dalam jiwa]. Barangkali hampir
patah semangat, namun digagahkan juga untuk bergerak walaupun terpaksa mengheret
badan dari satu tapak ke tapak yang baru. Study, financial, personal matters,
dan kerjaya sebagai pensyarah membuat jiwa saya kelelahan.
Beberapa kali terpaksa membuat talian hayat, menagih
motivasi dari bonda dan sahabat2 yang masih wujud memberi semangat untuk
menongkah perjalanan sukar ini. Perjalanan kedoktoran ini bukan satu laluan
mudah, liku demi liku dan jatuh demi jatuh diterima dengan penuh redha.
Sehingga satu waktu, hati kecil ini sudah terlalu rasi untuk
menelan kepahitan. Sehingga bisa-bisa perjuangan menjadi biasa, sudah lali
barangkali. Saat seperti itu, jiwa ini bagai mengalukan sahaja ujian dan dugaan
yang bertali arus. Tamrin dan tarbiah kehidupan yang tidak mungkin dijumpai di
ceruk-ceruk kuliah, yang benar-benar mengajar erti pasrah dan tawakal pada Yang
Maha Esa.
Terasa segenap rongga hati sudah berlubang dan tebal,
ditikam onak-onak dan duri-duri masalah dan ujian kehidupan. Sudah mati segala
deria, untuk menangis dan mengeluh terhadap apa yang berlaku. Satu persatu
ujian bertandang, setiap itu airmata merembes dalam senyuman. Kukuh di mata
manusia, kalah di saat sujud di hadapan Yang Esa. [Allah..Allah]
Jika tidak niat ini kerana untuk kepentingan agama dan bangsa,
pasti sudah lama mengalah dan berhenti menyoroti liku-liku kedoktoran. Jika
tidak kerana memikul amanah dan harapan mereka yang sentiasa memberi semangat,
pasti sudah tersungkur sejak di permulaan.
“ Ini dunia wahai
anakku..ruang lelah dan payah, tempat berjuang dan terbuang..kembara ini adalah
hadiah untukmu, memodelkan aku sebagai petanda aras untuk kau ikuti bersama
bangsamu..perjalanan yang sukar ini aku tulis satu persatu, untukmu mengambil
iktibar dan pedoman di masa akan datang.
Sebelum aku menjadi
seorang bapa, aku adalah seorang anak pada ibu dan ayahku..yang pernah
menyimpan hasrat seperti hasratku kepadamu, cuma bezanya aku melalui dulu
perjalanan ini untuk kau ikuti..agar mendaki lebih tinggi atau mencipta yang
lebih baik.
Aku mengorbankan
sebahagian hayatku untuk memastikan engkau mendapat yang terbaik, meninggalkan
sebahagian besar cita-citaku demi sebuah generasi. Aku menulis ketika engkau
masih belum wujud, malah sebelum aku masih belum mengenal siapa ibumu. Tapi aku
sedar, untuk sebuah generasi ia bermula dengan seorang individu seperti aku.
Lalu aku berubah,
memikul setiap amanah-amanah generasi yang sepatutnya dilunaskan oleh generasi
sebelumku. Sehingga satu waktu, akan kuserahkan baton perjuangan ini padamu
nanti untuk kau teruskan. Melalui perjalanan yang serba fakir, aku menapak satu
persatu sehingga seluruh debu-debu perjuangan menyapaku. Melalui daerah demi
daerah mengutip butir-butir tarbiyyah, untuk memastikan aku memenuhi segala
syarat untuk sebuah matlamat. Sehingga aku terasa kelelahan kerana peritnya
perjalanan seperti ini.
Aku berjuang kerana
cintanya aku pada agama dan bangsaku, yang menagih perubahan dalam sebuah system.
Kerana cinta ini aku memerlukan kamu dan bangsamu, menjadi yang lebih baik. Dan
aku sedar ia sebenarnya bermula dengan diriku.”
Sebuah janji dan hasrat untuk dilunasi, sebelum memegang
tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada seseorang [yang entah siapa orangnya]. Pencarian demi
pencarian bagi memastikan ia selari dengan matlamat perjuangan dan langkah
kehidupan. Mengharuskan untuk lebih memilih dan berhati-hati dalam mencari teman
perjalanan.
Kedoktoran. Sebuah daerah sakit dan perit, daerah untuk memutuskan
segala saraf otak di benak minda..memecahkan segala kemungkinan dan membenamkan
segala ketakutan dan igauan. Perlu untuk bangkit dan melupakan segala kesakitan
seolah-olah ia tidak pernah berlaku. Walaupun sedar ia hanyalah lakonan.
In life, there's a price for everything u want. Things that you should let it go, things that you should forget, and things that you should give to others and keep none for you.
There's time you must close your eyes, and learn to forget even in hard way. Time that you must said "i'm okay" when you are not, and learn how to smile. Time you should tell yourself to move on while your still want to stick with it.
This is LIFE. And i'm walking on its path.
M.S Wan
Doctor of
Philosophy, 2013
Malaysia.