Seindah KalamNya

Sunday, January 29, 2012

::Catatan Khas::

Share


Bismillahirrahmani Rahim..salam buat semua, teman2 pembaca yang budiman. Meski pun sangat jarang saya menulis dan mengupdate blog untuk tempoh ini, namun jumlah kunjungan dan activities kadang membuat saya rasa bersalah. Bila kunjungan pada blog yang pemiliknya sangat kurang kecekalan untuk menulis.

Minggu lepas saya dapat surat cinta, surat kedua selepas tawaran dari Uni di Australia yang telah saya tolak. Kini datang tawaran kedua, yang membuat saya berfikir panjang untuk membuat langkahan yang seterusnya. Paling terkejut, semuanya berlaku terlalu cepat. Hanya 10 hari, dr proses permohonan sehinggalah jawapan yang diberikan. Bagi saya, itulah hadiah dari doa-doa semalam saat dahi mencecah ke sejadah. Subhanallah.

Mendapatkan sekeping lagi ijazah sarjana bukan tujuan asal saya, tapi ‘membeli’ sekali lagi masa dan ruang untuk mendapatkan sebutir mutiara hidup yang kian hilang. 30 juzu` dalam dada, entah berapa banyak yang sudah ketirisan ingatan dan berapa lagi yang sudah tinggal setelah kesibukan menjadi alasan. Sudah saya sempurnakan sebahagian kehidupan menjadi manusia, mendapat anugerah masyarakat sebagai ‘Hafiz Professional’. Gelaran itu yang diburui ramai manusia, namun berapa ramai sahaja yang benar-benar berjaya.

Jauh di dalam hati saya, kepiluan dan kesedihan menghiris. Segulung ijazah professional yang saya genggam tidak membawa makna, jika mutiara yang pernah cahayanya bersinar menerusi diri kian hilang. Berat tanggungjawab dan bebanan itu..lalu sekali lagi, hati memohon pada Rabb Izzati.
Buat apa berjaya, buat apa menjadi orang hebat-hebat..jauh di dalam diri, segalanya kosong. Sepi. Hening.

Al quran yang terkandung di dalam bilah rongga dada, tiada apa yang dapat menandinginya. Ketenangan. Keindahan. Kebahagiaan. Sekalipun keletihan dan kepenatan, tiada jemu membacanya berulang-ulang. Maka majulah sekali lagi langkah, untuk mengenggam sekeping lagi sarjana ke tahap yang lebih tinggi. Memaknakan kembali inti sebenar menjadi sebahagian Huffaz Professional yang benar-benar beramal dengan Al quran.

Maka makbul lah juga doa seorang ibu, untuk melihat anaknya berjaya dunia dan akhirat. Sebenarnya tidak sukar menjadi baik, tetapi sangat sukar untuk menjadi sebaliknya. Untuk membina keluarga dan ummah yang cemerlang duniawi ukhrawi, segalanya bermula pada diri kita hari ini. Doakan kejayaan saya di sepanjang perjalanan, dan terima kasih di atas nasihat dan tunjuk ajar yang tidak pernah surut yang menjadi kompas kehidupan.

Alhamdulillah, di sekeliling kita terlalu banyak nikmat yang tak terucap. Bersyukurlah dan hargailah.
Wsalam

Tuesday, January 3, 2012

Hanya aku..sendirian.

Share


Assalamualaikum.. =) 

Setelah hampir dua bulan tulisan di blog kuning emas ini terhenti, tempoh itu juga adalah tempoh diam buat sdiri seketika. Insya Allah, saya akan cuba menyambung kembali kudrat yang terhenti.

Untuk tahun baru, tiada apa yang ingin saya tulis sebagai impian atau cita-cita tertinggi selain menanti panggilan ke jalanNya untuk berjuang. Setiap saat dalam proses penantian itu, saat itu juga pergelutan besar perjuangan berlaku. Pergelutan dalam memenangkan iman di atas nafsu dan akal fikiran.

Pergelutan yang ditiup dari perasaan indah, keenakan dan keselesaan. Malah juga dari cinta khayalan dan perasaan,saat syaitan dan hawa nafsu berebut-rebut menyesatkan iman. Astaghfirullahal azim..tiada daya dan kudrat untuk melawan, melainkan dengan pertolongan dan kasih sayangNya.

“ Wahai Tuhanku, sampaikan selawat dan salamku kepada Junjungan Besar Muhammad Bin Abdullah s.a.w. Sampaikan salam kerinduan seorang ummat akhir zaman yang sentiasa dilambung dugaan, sampaikan sekudus ingatan dari seorang hamba yang beriman terhadap Kitab dan Sunnahnya.

Sampaikan pada Baginda wahai Tuhanku, bahawa aku ini seorang ummatnya. Yang berjalan sendirian, dihidupkan dan ditinggalkan di zaman penghabisan. Zaman iman dan dosa bercampur aduk, zaman maruah dan harga diri ulama dan guru-guruku diinjak-injak malah pemimpin-pemimpin zalim diangkat dan dijulang. Zaman Islam semakin diperlekekan dan tika ummatmu ini tidak berdaya wahai Tuhan.

Sampaikan salamku kepada KekasihMu Ya Rabbi, bahawa seorang ummatnya kini teraba-raba mencari jalan yang lurus. Saat tiada Nabi dan Rasul lagi diutuskan, zaman ini kekeringan wahai Rasulullah. Ummatmu ramai, namun mereka berpecah-pecah menjadi beribu. Benar mereka hanya ibarat buih di lautan, sekadar mewarnai pemandangan untuk seketika dan pecah ditiup angin bila sampai waktunya.

Wahai Tuhanku, aku tahu salamku ini sampai terus kepada Panglima Junjungan Muhammad Habiballah bersama selawat yang ku utus tanpa hijab. Sampaikan juga padanya, bahawa aku memohon keampunan untuk seluruh ummatmu di akhir zaman di saat mereka lalai dan leka. Ampunkanlah mereka wahai Tuhanku sebagai hamba-hambaMu,ujian di akhir zaman ini terlalu berat dan kuat. Malah kami menjadi berpecah-pecah, dilanda angin fitnah pun kami rebah.”

Jika kau tahu hatiku, saat senyum yang kuberi sebenarnya kelat untukku telan. Saat sapa yang kulontarkan sebenarnya pahit untuk kuluahkan. Kerana aku berada di dua daerah rasa, satu membencimu kerana fitnah dan ujian darimu. Satu menyayangi kerana aku cuma hambaNya dan saudara seagamamu, saat satu tangan cuba untuk menyelamatkan diri sendiri dari kelemasan dan satu lagi menyelamatkanmu dari ditenggelamkan.

Tidak mampu untukku selamatkan diriku, saat aku melihat dikau terkapai-kapai kelekaan. Bantulah aku, aku juga tidak berdaya. Aku juga ummat di akhir zaman sepertimu.