Seindah KalamNya

Wednesday, February 23, 2011

Di panggil Pulang..

Share


Di sebahagian perjalanan dalam kembara mengenali usul penciptaan, tafakur di tikar lusuh meluruhkan kuntum kesombongan..Yang tinggal hanya kehinaan, saat dahi menyapu debu-debu hitam dan pipi dibasahi air keinsafan .Dan ratib di hujung malam itu, menghitung masa hadapan atau menghisab kesilapan silam?
 
Kita dihidupkan untuk apa sebenarnya? Dari kecil diasuh dan disuruh untuk  menimba pengetahuan agar satu tika nanti kita mampu memijak gading kejayaan, lalu dewasa nanti adanya pekerjaan yang menjamin kehidupan. Lalu tanpa sedar, dari menjadi pemburu impian kini bertukar menjadi hamba pekerjaan. Mulanya niat mengumpul bekal kehidupan untuk perjalanan, supaya hidup sedikit senang kita mampu menghulurkan tangan.  Lalu dunia menghanyutkan, hidup mula memburu pangkat dan gelaran.

Sedang waktu terus silih berganti, umur yang tersisa mula menyesakkan fikiran. Harta dunia masih tidak menyenangkan, yang banyak dirasakan kurang. Di sana DIA melihat, menyaksikan kesibukan insan menimbun harta yang hanya boleh diwariskan. Suruhan sesekali dilakukan, sekadar memenuh masa terluang.Sedang yang dilarang kerap pula dilakukan, desakan kehidupan menjadi alasan. Dan keredhaanNya bukan lagi menjadi matlamat kehidupan. Ilmu yang ada hanya menjadi hujahan, bukan untuk diamalkan.

Allah Allah..Sesungguhnya jauh di hujung rasa, ada suara menangis..ada hiba yang bersendu di dada, wahai Tuhan ini bukan kehidupan yang kuinginkan. Kehidupan yang sudah jauh dari laluan, makinku kejar makin tidak berkesudahan. Ya Wadud Ya Zal Arsyi` Majid, terima kasih panggil aku pulang. Bisikan kesusahan mengingatkan aku jalan pulang, bahawa di sana DIA menanti hamba yang beriman.Maha Suci Tuhan yang memegang jiwa dan kehidupan.

Dan tangan yang mengadah ke langit hitam, aku tahu permintaan pasti dikabulkan. Kerana itu sudah dijanjikan. Wahai Tuhan, dalam hatiku hanya ada satu. Izinkan aku menunai janji, sekalipun di medan itu hanya ada aku wahai Tuhan. Benarkan aku berjuang, sebelum jasad diusung pulang.   

::Tadabbur ayat::

Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri…….” ::Baqarah 44::

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” ::133& 134 Ali Imran::

0 comments: