Bismillah..segala puji Tuhan yang sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya. Tika hilang segala daya dan kudrat manusia, DIA setia mendengar tasbih cinta hambaNya biarpun sedegil dan sekeras mana pun hati sebelum tempoh itu..
Sebagai pujian dan penghargaan, ingin saya kenalkan seorang wanita yang begitu hebat dan cemerlang yang pernah saya kenali sepanjang tempoh masa kehidupan. Dia bukan insan biasa, bukan sahaja dihormati kerana budinya tetapi juga disanjung masyarakat kerana tauladannya.
Beliau antara 40 orang yang menerima anugerah IBU MITHALI KELANTAN 2007, sering diminta resepi dan petua kejayaan membimbing keluarga oleh masyarakat di luar sana. Beliau tidak begitu berbangga dengan segulung kertas pujian ini, tetapi itu cukup untuk membuktikan kegigihan dan pengorbanannya diiktiraf oleh masyarakat di luar sana.
Nama terpaksa disamar untuk keselamatan anak terunanya ini..(Bagi yang faham) ^_^ |
Sepuluh anaknya yang dilahir dan diasuh, kini semuanya bergelar manusia dan sudah mengukir nama. Mendidik anak-anak di saat beliau terpaksa menjadi ibu dan bapa pada waktu yang sama merupakan tugas berat. Dan hasilnya:
Anak pertama: Guru(Pahang)
Anak Kedua: Guru(Kelantan)
Anak ketiga: Guru(Kelantan)
Anak keempat: Mengurus firma guaman sendiri (Kuala Lumpur)
Anak kelima: Pendakwa raya (Alor Star)
Anak keenam: Pensyarah (Perlis)
Anak ketujuh: Ushawan (Kelantan)
Anak kelapan: Pegawai Farmasi (On leave UK)
Anak kesembilan: Perancang Bandar (Kuala Lumpur)
Anak Bongsu: Arkitek (Petaling Jaya)
Beliau yang saya kenali inilah yang mengenalkan saya jalan menjadi manusia, sawah dan lumpur hitam yang tidak ingin beliau wariskan. Beliaulah yang satu waktu dulu pernah saban waktu mengejutkan saya di subuh hari, memakai pakaian yang masih lembab untuk turun membanting padi. Sejuk angin yang menyeksa tulang hitam tidak lagi dipeduli, dialah yang pernah menjadi guru hidup saya bahawa rezeki terlalu sukar untuk dicari..
Beliau adalah Bonda saya sendiri, yang cukup tabah membesarkan anak-anaknya. Beliaulah yang mengajar saya bahawa solat itu tiang agama, dunia dan harta tidak bermakna andai tidak hadir iman bersama. Dan selalunya beliaulah talian hayat saya, sewaktu sudah tiada tempat untuk mengadu. Yang sentiasa memberi restu untuk anak-anaknya berjuang menjadi yang terbaik, separuh usianya dikorbankan untuk anak-anak tercinta.Dan kedut-kedut di dahinya itulah ukiran zaman tentang pengorbanan yang pernah beliau lakukan..Dan untuk itu,Terima Kasih Ibu..Engkau Ratu Permaisuri Hatiku.
“Ibu..Engkaulah Ratu Hatiku..Bilaku berduka, engkau hiburkan selalu.. =)”
0 comments:
Post a Comment