Seindah KalamNya

Sunday, March 21, 2010

Ekonomi & Perniagaan

Share


Menyebut tentang perjuangan melalui ekonomi, pasti yang hadir dalam kepala minda kita adalah duit, emas dan pelbagai lagi asset yang mempunyai nilai. Namun yang lebih penting adalah bagaimana untuk mewujudkan kekayaan seperti yang kita bayangkan.
Ekonomi bergantung seberapa banyak kemampuan dan keinginan masyarakat untuk mewujudkan proses putaran permintaan dan juga kesediaan bekalan pasaran. Ketidak seimbangan di dalam proses pusingan yang berlaku akan menyebabkan wujudnya inflasi ataupun defisit terhadap ekonomi. Dan proses ini disebut sebagai perniagaan ataupun perdagangan seperti yang kita amalkan di dalam kehidupan seharian.
Perniagaan, atau perdagangan yang dalam Al-Quran disebut sebagai at-tijaroh adalah suatu bentuk kegiatan yang dalam kehidupan seharian untuk meraih rezeki dengan pelbagai cara yang halal dan bermaruah. Al-Quran banyak memberi panduan tentang perniagaan dalam beberapa ayatnya. 
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari adzab yang pedih?
(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” (As-Saff :10-11)
Bersambung..


Wednesday, March 10, 2010

LANGKAH PERTAMA UNTUK MENJADI MUSLIM

Share



Bagaimana seseorang boleh menjadi seorang Muslim dalam erti yang sebenarnya? Jawapan dari pertanyaan ini memerlukan pemerincian secukupnya, dan saya akan menjelaskan pemerincian itu dalam khutbah-khutbah saya pada hari-hari Jumaat yang akan datang. Sedangkan untuk khutbah kali ini, saya akan menerangkan masalah yang sangat penting, yang dapat dianggap sebagai langkah yang paling awal dalam tindakan untuk menjadi seorang Muslim.

APAKAH MUSLIM ITU NAMA SUATU KELOMPOK BANGSA MANUSIA?

Marilah kita fikirkan apa sebenarnya erti kata Muslim yang kita gunakan setiap waktu itu, dengan memikirkan pertanyaan-pertanyaan berikut: Apakah seseorang sudah membawa Islam pada waktu ia dilahirkan? Apakah seseorang disebut Muslim kerana ibu-bapanya atau kakaknya adalah Muslim? Apakah seorang Muslim terlahir begitu sahaja sebagai seorang Muslim, sebagaimana halnya seorang bangsawan lahir sebagai bangsawan, atau seorang anak dari kasta Brahmana lahir sebagai seorang Brahmana, atau seorang anak Sudra lahir sebagai seorang Sudra? Atau, apakah Muslim itu nama suatu bangsa seperti lnggeris?

 Dan apakah seorang Muslim disebut Muslim kerana ia lahir di tengah masyarakat Muslim, seperti seorang lnggeris disebut Inggeris kerana lahir di tengah-tengah masyarakat Inggeris? Bagaimana jawapan anda terhadap pertanyaan-pertanyaan tersebut di atas? Saya kira - bahkan saya yakin - anda akan menjawab: "Tidak.!

Seseorang tidak lazim disebut Muslim kerana alasan-alasan tersebut di atas. Seseorang tidak disebut seorang Muslim kerana ia tergolong dalam suatu kelompok bangsa tertentu. Tetapi seseorang dikatakan Muslim apabila ia menerima Islam sebagai agamanya. Kalau ia melepaskan agama Islam, maka secara automatik ia berhenti menjadi Muslim.

 Seorang yang beragama Hindu, atau seorang bangsawan, atau seorang Inggeris akan termasuk dalam kelompok masyarakat Muslim kalau ia menerima Islam sebagai agamanya. Sebaliknya, seorang yang lahir di tengah-tengah keluarga Muslim akan dikeluarkan dari masyarakat Muslim kalau ia melepaskan Islam sebagai agamanya, walaupun ia anak seorang Lebai atau mufti sekalipun.

Itulah, saudara-saudara! Saya yakin, itulah jawapan yang akan anda berikan, atau yang anda setujui, bagi pertanyaan-pertanyaan tersebut di atas. Dan dari jawapan tersebut kita boleh menyimpulkan bahawa anugerah Allah yang terbesar, yakni sebutan sebagai seorang Muslim, yang anda nikmati itu, bukanlah suatu harta bangsa atau kesukuan yang secara langsung anda warisi dari orang tua anda dan terus melekat pada diri anda selama hidup, baik anda sedari atau tidak, tetapi ia adalah suatu harta yang harus anda peroleh dengan usaha.

Kalau anda melakukan usaha untuk memperolehnya, maka anda akan memperolehnya; sebaliknya bila anda tidak mempedulikannya, walaupun anda sudah memperolehnya, maka ia akan dicabut dari anda. Na'udzu billah min dzalik.

 Artikel asal: ABU A’LA AL-MAUDUDI

Tuesday, March 2, 2010

KEPENTINGAN PENGETAHUAN BAGI SEORANG MUSLIM

Share


KURNIA ALLAH YANG TERBESAR

Saudara-saudara seiman yang berbahagia!
Setiap Muslim nescaya yakin sepenuhnya bahawa kurnia Allah yang terbesar di dunia ini adalah agama Islam. Seorang Muslim akan sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah memasukkannya ke dalam kelompok umat Muhammad Rasulullah saw, dan yang telah memberikan kepadanya kurnia Islam. Allah sendiri telah menyatakan Islam sebagai kurniaNya yang terbesar yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya, sebagaimana disebutkan dalam al-Qur'an:

“... Pada hari ini, telah Ku-sempurnakan untuk kamu agama-mu, dan telah Kucukupkan
kepadamu nikmat-Ku, dan telah , Ku-redhai Islam itu agama bagimu ..."( Al-Quran al-Maidah, 5 :3 )

KEWAJIPAN KITA KE ATAS KURNIA YANG KITA TERIMA

Adalah merupakan kewajipan bagi kita untuk melaksanakan kewajipan terhadap Allah, kerana nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Seseorang yang tidak melaksanakan kewajipannya kepada orang lain yang telah memberikan sesuatu yang sangat berharga baginya, ia adalah seorang yang tidak tahu berterima kasih. Dan manusia yang tidak melaksanakan kewajipannya kepada Tuhan adalah manusia yang paling tidak tahu berterima kasih.

Sekarang, mungkin anda akan bertanya:  Apakah kewajiban yang harus kita laksanakan
kepada Allah yang telah memberikan kurniaNya kepada kita?

Jawapannya adalah bahawa kerana Allah telah memasukkan kita ke dalam kelompok umat Muhammad saw, maka bukti terima kasih yang paling baik yang dapat kita persembahkan kepada Allah atas kurniaNya yang besar itu, adalah dengan cara menunjukkan sikap sebagai pengikut-pengikut Rasulullah saw yang tulus dan setia.

Kerana Allah telah memasukkan kita ke dalam kelompok masyarakat Muslim, maka satu-satunya cara untuk memperlihatkan rasa terima kasih kita kepadaNya adalah dengan menjadi orang Muslim yang benar. Tidak ada cara lain bagi kita untuk menyatakan terima kasih kepada Allah atas kurniaNya yang sangat besar itu. Bila kita tidak menyatakan rasa syukur kita dengan cara demikian, maka hukuman atas sikap kita yang tidak tahu berterima kasih itu, akan sebandingan besarnya dengan kurnia yang diberikanNya kepada kita. Semoga Allah menghindarkan kita dari hukuman demikian itu! Amin.

 Artikel asal: ABU A’LA AL-MAUDUDI