Seindah KalamNya

Tuesday, November 6, 2012

October Yang Istimewa.

Share


Bismillahirrahmani Rahim..alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menyambung tulisan kali ini. Yang pasti, sangat istimewa. Sekali seumur hidup, dan bukan semua orang boleh dianugerahkan seperti ini. Alhamdulillah Ya Rabb.

Sangat istimewa. Cuba anda perhati betul-betul pada pasir di telapak tangan saya. [perhatikan kilauan putih halus]. Sudah dapat jangka? Cuba teka apa.
Perhatikan pada kilauan putih di atas pasir.

Istimewa.

Pasir yang diayak.

Bagi seorang yang jarang bermimpi seperti saya, sesekali bermimpi pasti membawa makna. Inilah mimpi saya sebulan yang lalu,didatangi seorang lelaki yang sangat saya kenali tetapi gagal mengingati mukanya sewaktu terbangun. Lelaki ini sangat manis dan berbudi bahasa, dia membawa saya ke suatu tempat yang pernah dulu menjadi tempat jatuh bangun saya. Dia berhenti di satu perdu pokok, lalu memberitahu. “ Di sini ada e-ma-s [maaf, saya tidak boleh mengeja penuh]. Lalu dia menunding ke kaki tempat dia berdiri. Katanya, “Ambillah, milik kamu untuk digunakan seperti yang dihajatkan”. Dalam terpinga-pinga, saya kemudian terjaga.

Ya Allah, betulkah mimpi itu. Berminggu saya merahsiakan, bimbang mimpi itu hanya khayalan. Pulang sahaja bercuti tempoh hari, saya berjumpa dengan orang yang berkebolehan. Menceritakan mimpi saya, lalu dia mengiakan. Ternyata benar, di situ ada e-ma-s. Saya tanya banyak mana, jawabnya Wallahu a’lam. 

Pada malam Aidiladha kedua, kami sekeluarga mengadakan meeting tahunan a.k.a usrah rasmi [sehingga ke dinihari 28oct]. Membincangkan isu2 keluarga, perancangan tahunan dan banyak lagi. Selepas meeting, kami masih mengelilingi meja bulat dan menyambung cerita. Maklumlah masing2 sibuk dan sesekali pulang pasti banyak yang ingin dikongsi bersama.

Di kala itu saya mengambil kesempatan, memberitahu mimpi saya. Kelihatan bonda dan adik beradik sangat teruja, memberi saya kekuatan untuk merealisasikan mimpi tersebut. Dan saya bercerita, asal mimpi itu kerana sekudus doa. Hajat saya untuk membantu dana pembesaran dan pembangunan Masjid Syuhada` yang dibina sempena Peristiwa Memali 1986 dahulu. Tetapi mustahil, kerana waktu ini saya tidak ada wang. Apatah lagi untuk menyumbang, lalu dalam tangis saya berdoa. Dan yakin bahawa tiada yang mustahil pada Yang Maha Esa.
Masjid Asyuhada yang sedang dalam pembinaan.
Semuanya sepakat menyarankan saya untuk pergi ke tempat yang saya mimpikan, apa salahnya ikhtiar memandangkan hajat saya untuk pembangunan masjid. Dalam hati, saya patah semangat. Saya tidak berminat dengan harta, apa lagi kemewahan dunia. Jika tidak kerana semangat yang bonda tiupkan, pasti akan saya biarkan mimpi itu berlalu sahaja. Setelah membuat segala kelengkapan, dan pembersihan hati demi memastikan hajat terlaksana. E-ma-s yang terlahir dari perut bumi adalah ssuatu yang sangat istimewa, tidak akan dapat pada yang bersifat tamak dan tidak jujur. Jika sudah ada pun, ia boleh lari dan hilang.

Esokannya, kami bermusyawarah dengan orang berkebolehan. Turut bersama bonda [yang sangat excited] dan abang-abang saya. Mendengar tentang lokasi, kedalaman e-ma-s itu berada. Dan berkali-kali orang berkebolehan itu memuji saya, tuah budak ni katanya. Hati tulus dan bersih. [Tersengih-sengih seperti kerang separuh masa saya dibuatnya].He He. Perasan pulak saya jadinya.

Jam 12 tgh malam, ditemani beberapa orang yang saya percaya kami mengatur langkah. Malam itu 15 Zulhijjah, malam bulan penuh. Cahaya bulan tepat jatuh ke atas lokasi yang kami tuju. Bukan di kawasan lapang, tetapi di dalam hutan. Bersumberkan cahaya bulan dan lampu suluh biasa, kami mengali sehingga tiga kaki ke dalam perut bumi. Anehnya, di situ air mata bumi sangat subur walau baru digali 3 kaki [1 meter]. Airnya keluar laju seperti paip, menyukarkan proses untuk menggali. Sehinggalah jam menunjukkan sudah pukul 3 pagi. Malangnya, apa yang kami cari tidak jua dijumpai. [Kecewa].
Lokasi yang digali, kedalaman sudah 3 kaki.

Lalu kami pulang sewaktu jam sudah pukul 4 pagi, kepenatan mula terasa. Pulang sahaja membersih diri,semua tertidur kepenatan. Diam membisu. [Barangkali masing-masing kecewa]. Saya menyambung solat, memohon petunjuk Yang Maha Esa. Kerana padaNya, segala sesuatu disandarkan. Menjiwai kelemahan dan kekurangan. Kemudian saya juga terlena selepas subuh. [Kepenatan].

Jam 10 pagi, masing2 sudah mula bangun. Mengatur bicara apa yang seterusnya. Pesan abang saya, saya tidak boleh berangkat ke JB selagi urusan tidak disudahkan. Hari itu sudah pagi Khamis, sepatutnya saya sudah perlu berangkat pulang. Namun, atas kemaslahatan bersama saya ketepikan urusan saya. Selepas berbincang, jam 11 kami turun lagi sekali. [Usaha terakhir]. Kali ini menggunakan bantuan pam air, untuk menyedut air mata bumi yang laju mengalir.
Bantuan pam.

Dan sewaktu azan zohor berkumandang, saya yang sedang menggali dianugerahkan keajaiban. Tanah sekitar adalah tanah liat, tetapi di bawah kaki yang saya pijak ia berpasir. Lalu saya pegang,amati dengan penuh teliti. Ternyata ada kilauan cahaya. Waktu itu hati sudah melonjak gembira. [Sangat]. Namun masih menjaga hati agak tidak timbul rasa tamak dan seangkatannya. [Subhannallah]. Tahmid dan syukur berkumandang berkali-kali.

Rupanya, tanah dan air yang disedut mesin sudah mengeluarkan tanah berpasir itu. Setelah diayak tanah tersebut, timbullah bijih dan manik halus e-ma-s. Dan sample di bawa untuk diuji. Ternyata, hasilnya adalah e-ma-s. Lalu petang itu, saya menyambung amanat saya kepada mereka yang terlibat. Kerana pemberian itu adalah ditulis untuk saya melalui mimpi.
Masjid Syuhada` yang masih memerlukan bantuan.

 Pesan saya, ambillah seberapa yang mahu. 1/5 dari setiap hasilnya harus dimasukkan ke dana masjid untuk pembinaan. Dan saya halalkan semuanya, untuk sesiapa sahaja yang ingin merasai barang sedikit manis mimpi saya itu. Dan pagi jumaat, saya berangkat pulang dengan hati penuh syukur. Tanpa sekelumit perasaan untuk memburu kemewahan saya bawa bersama. Semuanya saya tinggal pada Yang Maha Esa.
Muka mengantuk tetapi puas. [Safwan bererti tanah yang suci]. Menelusuri asal kejadian.

Kerana diri saya ini juga telah diwakafkan untuk agamaNya. Tidak ada makna untuk saya merebut dan mengejar sesuatu yang sudah saya wakafkan bersama. Sekali lagi Oktober kali ini sangat manis dan istimewa. Dan tuah seorang yang berhati tulus, manis ‘madu’nya dinikmati bersama. Semakin kita menolak dunia, semakin dicurahkan kepada kita sesuatu yang tidak terlintas dek akal fikiran kita. [Manis dan bermakna]

Jagalah hatiku ini Ya Allah dari terlencong dengan pancingan dunia. [Ameen Ya Rabb]. Kita semua istimewa, cuma terpulang bagaimana kita menjaga pintunya. [Hati]

p/s: perkataan e-ma-s tidak boleh saya eja dengan betul untuk mengelak carian google.
dan gambar-gambar di atas adalah pembuktian cerita. [Erti Hidup pada yang Memberi].


Tuesday, October 23, 2012

Ditarbiyah dan Mentarbiyah.

Share


Bismillahirahmani Rahim..penat tapi mata tidak mahu lelap, Alhamdulillah hari ini draft thesis sudah berjaya dihantar sebaik sahaja presentation utk progress thesis. Kepenatan membuat thesis seakan hilang, bila supervisor mengatakan, “ Safwan, ur progress is really impressive. Well done”. Dan saya macam biasa tersengih-sengih seperti kerang separuh masak.Hehe. [Senyum manis-manis]. Buat dua lagi sahabat saya yang sedang bertungkus lumus mencari data dan menyudahkan analysis research mereka, doa akan terus dipanjatkan moga kejayaan bersama mampu dirai.

Maka hilanglah segala keserabutan di meja tulis saya, dan tamatlah kesibukan marathon master utk research. Selepas ini boleh tidur dengan aman, boleh main game puas-puas, pasti yang paling best boleh sambung bercinta dengan Quran lama-lama. [Seronok]. Insya Allah, akan cbe menghasilkan jurnal paling kurang satu sehingga habis sem. 

Masih ingat di awal larian dulu, supervisor saya kata “U can find any easy topic, then focused on it. It’s ok because u only doing two semesters here”. Ketika itu saya sedang consult topic research, dan saya pilih topic yang agak sukar berkaitan dengan isu sekarang. Data yang saya perlukan juga agak susah untuk diperoleh, dan memerlukan banyak tangan dan kaki untuk membantu.Dan saya reply, “Dr,it’s ok if it`s hard and difficult. Everything I do, I hope it can give return benefits to my profession, or to the society. Atleast.” [Inspired]

Then he replied: “ I like this kind of spirit. So u can proceed if u want”. Dia senyum dan saya senyum. [Puas]. Dan saya bertungkus lumus memastikan saya di track yang betul, dan setiap kali presentation utk progress dia sangat berpuas hati. Pujian demi pujian membuat saya puas. [Senyum sorang-sorang]. Alhamdulillah saya sudah pun menyudahkan bahagian plg sukar dalam larian master, iaitu research. Malam ini sangat letih, tetapi mata tidak mahu lelap. Lalu tangan menaip.

Esok seawal subuh sudah mahu bergerak ke KL, dalam perjalanan balik ke Kelantan. Destinasi adalah UIA, untuk membuat surat pengesahan English exemption. Sebab Uni luar sudah meminta IELTS, tapi masih lambat lagi jadual exam. Jadi saya cuba untuk ke UIA, atas nasihat orang berpengalaman. Dan terus pulang ke kampong halaman, masih ada tugasan belum selesai. Termasuk Korban Perdana di masjid selian saya di waktu ramadhan lepas, dan Alhamdulillah sehingga kini momentumnya terus meningkat. Dulu di situ pernah jadi markaz hebat, kemudian hilang momentum dan mati perlahan-lahan. Namun sekarang rezeki pembangunan sudah mula mencurah-curah, aktiviti  sudah sentiasa ada. Orang kampong sudah mula aktif, roh perjuangan sudah kembali subur. [Masya Allah]
Jemaah kini melimpah..
Dari urusan membuat pengiktiran dan turun naik di Majlis Agama, kemudian membuka akaun bank nama Masjid. Membuat program yang sangat mengejutkan masyarakat setempat, dan kewujudannya kini sudah kembali dikenali. Semangat perjuangan kembali bergema. Hakikatnya, anak seorang pejuang tetap akan menyambung perjuangan yang ditinggalkan.  Dari urusan penjagaan, imam solat sampailah ke urusan-urusan rasmi saya genggam kemas. Sehingga rutin saya lakukan sudah boleh diikut dan sudah boleh berganti bila saya kadang tiada. 

 [Wallahi] Dalam hati saya puas melihat perkembangan itu, saya tahu bila mana disebut-sebut nama saya di atas roh perjuangan yang kembali subur. Hakikat, permulaan awal sangat sukar. Namun bila kita memulakannya, seluruh jiwa, tenaga dan duit yang sedikit sebanyak yang ada saya curahkan. Dan melihat kesungguhan saya, kami adik beradik memula mencatu dana. Kutipan segera berlaku dalam perbincangan kurang dari seminggu, dan penggeraknya hanya tinggal saya kerana saya bercuti dua bulan. Sehingga orang-orang besar dalam tarbiah mula turun menjejak kaki, dan masyarakat mula membuka mata.
Tgh skali YB [Juga bapa sdara], selebihnya abang-abang saya. Ust Dato Tuan [berjubah]

Alhamdulillah, di kala saya menolong DIA menyuburkan perjuangan di atas rumahNya. DIA menghadiahkan saya keputusan yang sangat cemerlang dalam semester lalu. [JanjiNya ditunaikan]. Dan saya lihat bonda kembali bersedih ketika saya mula berangkat pulang menyambung pengajian, katanya mati lagilah rumah itu. Saya pesan padanya, saya sudah tinggalkan system untuk disambung. Terpulang kepada mereka untuk melaksanakan yang seterusnya. Hakikatnya dari jauh kami sentiasa bermusyawarah walau hanya dalam facebook dan whatsapp. Dan momentum masih berterusan, muda dan tua sama berganding bahu. [Tidak sabar untuk melihat perkembangan selepas peninggalan saya Aidilfitri lalu].

Jika ayahanda masih ada, pasti dia tersenyum. Tempat yang pernah dia, TGNA, TG Abdul Hadi dan beberapa lagi pejuang lama kini kembali ‘hidup’. Selagi saya hidup, selagi itu saya akan pastikan momentumnya akan terus melonjak. Seperti mana ia telah menggegarkan masyarakat berdekatan, bahawa anak-anak pejuang sudah pulang ke gelanggang. Hebatnya perjuangan menyebarkan daulah, terasa keletihan tetapi di hati tersenyum puas. Dan kini masyarakat sudah mula menumpang tuah. [Alhamdulillah]
Saudara Bob Lokman.

Langkah saya masih jauh, mukadimah sudah saya mulakan itu. Insya Allah akan disambung oleh abang-abang yang kelihatan bersemangat untuk terus berkorban demi kepentingan agama. Insya Allah tiba masa, saya juga akan pulang bila bekal ilmu di dada sudah penuh terisi. Fasa mempersiapkan diri akan memasuki fasa terakhir, menunggu waktu takdir berjalan. [Doakan.]      

Biar apa orang kata, hidup jangan sekali menyerah kalah. Bangkitlah lagi walau jatuh berkali-kali, ia mengajar kita agar lebih matang. Adakala kita perlu membutakan mata dan memekakkan telinga, di saat awal perjuangan diragui dan dicemuh orang. Percayalah, apabila sudah ada hasilnya mereka akan mula datang untuk bersama-sama. Hidup ini, amat sukar untuk diumpamakan dengan perkataan. Dan kita perlu berjalan terlebih dahulu dan meninggalkan jejak teladan. [Biiznillah]

Masih ada misi panjang untuk disudahkan, madrasah tarbiyah itu hakikatnya latihan. Untuk sebuah perjuangan yang lebih besar. [Impian]. October kali ini sangat manis, episod demi episod mbuat saya menangis dan tersenyum. [Senyum manis-manis]. Ya Allah, permudahkanlah urusan itu. 

Selamat Hari Raya Aidiladha,sama-sama kita memaknakan pengorbanan meraikan perjuangan. 



Friday, September 28, 2012

Merealisasikan: The Walking Al Quran.

Share

Bismillahirrahmani Rahim..akibat buntu untuk memulakan thesis writing, lalu saya memulakan penulisan blog seminit dua. Baru perasan, belum ada post tentang study untuk sem ni. [senyum manis-manis].

Sebelum tu, buat seorang sahabat yang bakal [atau mungkin telah pergi] ke tanah suci untuk mengerjakan haji untuk kali ini, selamat jalan dan selamat beribadah. Alangkah indahnya dan nikmatnya berpeluang ke sana. Bersyukurlah, masih ramai yang menanti peluang itu. [termasuklah hamba ini]. Selamat Jalan sahabatku. ;)

Cerita sem ini [sem terakhir], campur tolak darab dan bahagi rupanya sudah hampir sebulan. Tetapi sem ini terlalu pendek, bulan 12 sudah memasuki final exam. Dan perlu menghantar thesis lengkap, sebelum berviva sekali lagi pada awal Januari. Fuhh, tarik nafas! [Bertenang].

Dalam kecepatan masa, saya perlu lebih pantas dan laju. Masa terlalu singkat untuk menyudahkan baki 2 chapter lagi thesis yang perlu disudahkan. [Hakikatnya.] Kadang kadang saya tertekan. [Masya Allah]. Larian adrenaline kadang2 tidak stabil, namun cuba juga untuk bangkit dan kuat. Tatihan satu demi satu terus diatur, walau lemah dan tidak bermaya. Demi Al Quran. [ Iya, demi al Quran].

Larian terakhir [moga yang terakhir] untuk ijazah Sarjana ini perlu disudahkan dengan cemerlang untuk sem ini[sekali lagi].  Kerana awal tahun hadapan saya berkira-kira untuk menyambung lagi ke peringkat Doctorate [PhD]. Sekali lagi, ia untuk Al Quran. Demi mengangkat martabat dan mengharumkan nama Huffaz Professional, segala kepayahan dan keperitan disahut jua . Bercadang untuk ke oversea selepas ini [insya Allah] sekiranya ada tajaan dan biasiswa [pinjaman pun tidak mengapa]. Jika tidak, saya akan menyambung phd di UTM ini juga. [Muktamad]


Dan saya sudah merisik khabar beberapa buah university di Ireland,Sydney, South Australia, Leeds dan UK. Peluang mungkin agak cerah [insya Allah] cuma yang menjadi sedikit halangan adalah financial supports. Alangkah indahnya saya dilahirkan kaya, mudah kerja. Hakikatnya Allah meletakkan saya di sebuah keluarga yang sudah kaya [kasih sayang].

Kenapa saya perlu sudahkan larian ini sehingga ke phD? Mengapa perlu cepat? Mengapa tidak ingin menunggu setahun dua lagi.

Ketika ingin menjawab soalan ini, terasa saya kerdil dan naĂŻf. Terasa saya tidak sehebat dan sebaik orang lain, terasa saya sangat munafik dalam perjuangan. Lalu saya bangkit, satu persatu risiko saya tiliki. Akhirnya, TEKAD.

Larian ini harus disudahkan,secepat dan semaksimum mungkin. Kerana di waktu ini, hanya ada satu. Di tanah air. Mempunyai peluang seperti ini. Jika peluang yang Allah berikan ini, tidak saya sahut dan saya pegang erat. Entah bila lagi, martabat seorang huffaz Al Quran berpeluang untuk dijulang sepenuhnya.

Hanya 3 sebab mengapa Huffaz Professional perlu dijulangkan:

Pertama: Title itu sendiri. Berapa ramai yang Huffaz dan professional. Ramainya ke bidang agama, menolak mindset bahawa ‘Walking Al Quran’ hanya untuk bidang agama [semata] adalah kewajipan. Dunia luar sudah lama membuktikan, tetapi tidak masyarakat melayu dan Malaya. Ramai yang professional, tetapi mereka bukan Hafiz. Ramai juga yang Hafiz, tetapi mereka tidak di bidang professional. Buktikan pada dunia, Al Quran itulah adalah nafas kehidupan. Buktikan melalui teladan.

Kedua: Masa. Masa adalah tanggungjawab berat, tidak kira kita professional semata, Huffaz sahaja atau keduanya. Berapa ramai yang mampu memulakan PhD sebelum berumur 25 tahun [suku abad pertama]. Nyatakan satu nama yang berada di tanah air ini [sekalipun hanya untuk Professional pun agak sukar]. Apatah lagi, jika Huffaz professional yang memulakan Phdnya sewaktu orang lain sibuk bersarung cincin dan bersanding di pelamin nan indah.

Berapa ramai di antara kita yang berada di bidang engineering, architecture, medic, accounting,laws etc yang sanggup mengorbankan kemanisan awal mudanya untuk sesuatu yang tidak penting. Dan berapa ramai yang sudi terus menadah ilmu dan mengkaji di kala gaji dan duit yang mereka nikmati sudah mula terasa panas di genggaman. Siapa yang sanggup meninggalkan alam pekerjaan yang sudah pun menawarkan peluang lumayan, lalu menempuh dunia ilmuan yang serba kekurangan.

Demi Allah dan Rasul, siapa yang sanggup mengorbankan kepentingan dirinya hanya untuk memberi laluan kepada kepentingan agama. Siapa yang sanggup bersendirian berendam air mata kepayahan,menghabiskan harinya dengan buku dan kajian, melangkah dalam keperitan tetapi masih bangun melontar senyuman. Siapa yang [di waktu ini] masih terfikir apa lagi yang mampu kuberikan untuk ummat, apa lagi yang tinggal untuk kusudahkan. [Bacalah dengan nama Tuhan].

Ketiga: Mengapa bukan kita. Pernah kita tanyakan pada diri sendiri, berapa lama lagi kita harus bersikap menanti. Berbangga dengan kejayaan orang lain. Berapa lama lagi kita mengambil sikap menunggu dan berharap. [Moga-moga.] Berapa lama lagi?!

“Jika ada seribu yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Jika ada seratus yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Jika ada sepuluh yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Dan jika hanya ada seorang yang berjuang, katakanlah itu adalah aku.”

Sebelum ini tidak pernah dalam lintasan hati saya, bahawa saya akan terlibat sebagai sebahagian ahli professional akademik. Tidak pernah terfikir dalam hidup saya yang saya akan menyudahkan master dalam tempoh kurang setahun.Ya Allah, tidak pernah terlintas semua itu. Laluan ini terlalu cepat dan pantas. 16 Jun 2011 mengubah landskap kehidupan asalnya, mungkin ini hikmah mimpi menerima suapan kurma dari kunyahan mulut suci Baginda s.a.w. di kala hati sarat kerinduan. [Rindu]


Huffaz Professional adalah milik semua yang menghafaz AlQuran, yang berada di lapangan professional samada mereka belajar, graduan ataupun bekerja. Saya cuma ingin membawanya dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai benchmark bahawa kehebatan orang yang menanggung Al Quran sudah dibuktikan dan akan terus dibuktikan. Moga-moga akan menjadi inspirasi buat adik-adik yang di belakang sana yang sedang mengorak langkah, bahawa tiada yang mustahil dalam menjadikan Al Quran kompas kehidupan.

Kemudian kita perlu bergerak sebagai the Walking Al Quran yang diimpikan,berbahasa dengan bahasa Al Quran di dalam segenap ruang professional. Kita daulatkan kembali perjuangan Baginda Muhammad Bin Abdullah s.a.w, dan pasakkan kemas dalam hati "Sekiranya aku mati, setidaknya ada ilmu yang akan kuwariskan". Usah berbicara tentang orang lain, bicara dulu tentang diri sendiri.

Di kala orang meragui perjuangan kita,di kala orang mempersoalkan keikhlasan kita. Biarkan mereka terus bersangka-sangka, sampai masa mereka akan sedar kita bukan sekadar bercita-cita biasa. Dan kita, akan terus sabar dan memaafkan. Makin berilmu, makin harus banyak diam. Dan makin perlu kenal pada Tuhan. Obor perjuangan ummah tidak akan pudar, sekalipun laluan itu sunyi dan sepi dari pujian dan penghargaan.Lillahi Taala.

Insya Allah,lillahi Taala.

Dan ketika ini yang dipinta hanya satu, perjalanan ini masih lagi jauh untuk disudahkan. Namun perit jerihnya pasti akan tetap perlu ditempuhi, lalu di waktu ini [kumohon] tadahkan doamu seketika. Doakan diriku agar tabah untuk terus melangkah, doakan agar pengorbanan ini hujungnya nanti ada nilaian. Doakan sekali untukku kejayaan buat agama, kejayaan untuk menghidupkan generasi al Quran dari segenap segi dan lapisan kehidupan. Dan doaku untukmu saudara/i seimanku, sememangnya sentiasa ada sekalipun kau tidak merasainya. [Insya Allah]

Di hujung waktu nanti kita hanya mahu menukilkan sesuatu, panduan buat anak bangsa. Menulis di ceruk usia, menghidang jamahan minda hasil hadaman Al Quran. Tiada yang lebih manis selain melihat benih-benih semaian menjadi pohon merimbun. Di kala buahnya sudah ranum untuk disatapi, waktu itu kita mungkin sudah tiada. Tetapi, percayalah. Tiada apa yang kita usahakan, melainkan sesuatu untuk kita tinggalkan. Nikmat memberi, hanya ada pada yang kenal erti hidup.

Ada lagi susur perjuangan yang hamba ini ingin sahuti, namun biar masa memberi ruang. Satu persatu. Tanpa prejudis tanpa ragu. Semoga susurnya menjadi teladan. Jadilah seperti air yang mengalir, membawa kehidupan di setiap daerah yang di lalui. Jangan jadi air di kali yang mati, kaku dan lesu. Akhirnya busuk dan meloyakan. Wsalam.


[Ketika terasa kelemahan dan kesedihan,kutahu itulah deringan panggilan dariNya. Untuk membawa aku berbicara denganNya. Lalu sujud dalam naĂŻf kepadaNya, bersama rintihan dan deraian airmata. Bicara tentang dunia yang menyukarkan langkahan dan tentang aku yang serba kekurangan, kemudian aku bangun. Puas. Allah Allah, nikmat.]


Monday, September 17, 2012

The Miracle of 17 september- Happy Birthday

Share


Salam..post ni dtujukan khas buat insan yang lahir hari ini. Terutamanya buat seorang murabbi saya, seorang Dr hebat di sebuah university yang baru menyambut kelahiran putera pertamanya yang dikhabarkan kepada saya pagi tadi. Isterinya seorang doctor di sebuah hospital besar ibukota, juga seorang yang gigih turun ke masyarakat mengabadikan jasa dan pengorbanan.

Beberapa bulan yang lalu, saya dan murabbi saya secara kebetulan bertemu di sebuah mall. Dan beliau mengajak saya untuk menemani beliau minum di sebuah café. Kami berkongsi sedikit tentang perkembangan hidup, dan pastinya saya lebih banyak mendengar berbanding bercerita. Dia bercerita juga tentang keluarganya, tentang 3 puterinya yang sedang membesar. Dan juga kisah isterinya yang sudah putus semangat untuk mengandung lagi kerana tidak mahu lagi baby perempuan.

10 tahun menunggu untuk kehadiran putera pertama, dan katanya hari demi hari mereka semakin putus harapan setelah ikhtiar demi ikhtiar tidak menjadi. Dan saya hanya mendengar sahaja, cerita sedih pasangan murabbi saya. Dan dia masih menaruh harapan, untuk mendapatkan pewaris keturunannya seorang putera.

Entah bagaimana, saya terspontan merespon ucapan tahniah kepada murabbi saya. Kata saya, Dr tidak tahu ke yang Dr. xxx (isterinya) sudah sebulan lebih mengandung. Dan tahniah kerana kali ini memang lelaki, itulah kata-kata saya yang tersasul keluar tempoh hari. Dia terkejut. Betul ke saya ni.Bla..Bla.. Lepas beberapa soalan,dia kemudian mendail no isterinya, tanya “ummi, u pregnant ke?..Lebih kurang yang saya ingat, dan isterinya sendiri pun tidak tahu dia pregnant. Dan isterinya kata nanti pulang dia buat pregnant test. Kemudian berkali-kali murabbi saya bertanya macam mana saya tahu, dan macam-macam lagi soalan. Bagai di soal siasat pun ada. 

Macam mana saya tahu?

Eh saya tidak tahu, honestly. Cuma sejak kebelakangan ini naluri saya semakin kuat, kadang-kadang saya tersasul perkataan yang tidak terpikir dek akal sendiri. Seolah dari hati dan terus ke mulut,kadang saya tengok wajah seseorang dan saya tahu sedikit sebanyak peribadinya. Kadang saya terberitahu sesuatu yang sangat personal bila seseorang bertanya, yang saya sendiri baru pertama kali tahu tentang ‘sesuatu’ itu.

Kadang saya tahu orang tu bermasalah walaupun zahirnya sihat,kadang bila orang tanya sesuatu dan saya boleh menjawab dengan betul tentang keadaan seseorang yang saya sendiri tidak pernah jumpa. Barangkali itulah sebab saya sering menjadi mangsa ahli keluarga dan saudara mara untuk bertanya bila mereka ingin mengetahui sesuatu dan mendapatkan kepastian.
Itulah cerita beberapa bulan lepas, dan hari ini Alhamdulillah lahirlah putera yang dinantikan. Bila saya renung dalam hati tadi, putera murabbi saya ini ada cahaya di wajah dan dadanya. Barangkali dia bakal mengantikan ayahandanya yang juga seorang yg hebat.

17 september 2012
17 september 2012

Tahniah Dr, itulah Allah yang mengabulkan doa hambaNya. JanjiNya untuk memakbulkan bagi setiap yang berdoa dengan penuh harap memang ditunaikan, cuma harus sabar sekalipun memakan masa bertahun-tahun. Ibrah yang sangat baik untuk dijadikan pengajaran kepada diri sendiri tentang erti sabar.

 Dan juga ucapan selamat ulang tahun buat seorang insan hebat yang banyak mengubah landskap hidup saya, tangan mulusnya yg pernah memberi minum ketika saya dalam musafir, pernah menjadi makmum untuk solat tahajud di suatu malam dan pernah menghadiahkan saya senaskhah al Quran. Dalam 3hari mimpi berturut bagi seorang yang sangat jarang bermimpi seperti saya. Dan ini bukan cerita dari novel, tetapi cerita yang Allah tuliskan untuk saya. Dan apa yang Allah tuliskan itu rupanya bukan saja-saja, sudah ada bayangan hikmah di sebalik semua itu. Alhamdulillah ya Rabb, kerana mengirimkan insan hebat ini.

Bolehkah saya katakan di sini orang yang dinantinya bukanlah pasangan hidupnya, dan di dadanya ada cahaya sedangkan pasangannya malap. Saya tidak mahu tulis banyak, apa kata kita sama-sama tunggu dan lihat. Makin banyak nurani kita mengungkapkan sesuatu, makin banyak kita perlu diam dan sabar menyimpan rahsia. Dan makin banyak kita harus bersyukur pada anugerah Allah yang tidak dikurniakan pada semua orang. 

Apapun tahniah dan selamat hari lahir buat dua insan hebat yang lahir pada 17 september. Hari ini 1 zulkaedah 1433. Semoga Allah mengurniakan dua insan hebat ini barakah dan rahmah, kekuatan dalam mujahadah dan kecemerlangan dunia dan akhirat. Semoga untukmu berdua maghfirah dan mardhiah yang berpanjangan. Allahumma amen.