Seindah KalamNya

Friday, April 29, 2011

360 degree

Share


Bismillahirrahmani Rahim..beberapa waktu yang berlalu dalam kesempitan masa disamping tanggungjawab dan amanah yang seakan menimbun. Masa yang terlalu singkat di akhir zaman ini begitu terasa, saat siang malam yang silih berganti tetap berlalu walau tidak dihisab oleh sesiapa. Itulah kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa. Allahu Taala Akbar.

Sudah dua hari di sini, menyewa sejengkal tanah untuk berteduh di kala kehidupan menuntut tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Besar rasanya tagihan itu, dan kerdil tubuh yang lesu ini dirasakan makin mengecil. Bagaimana agaknya untuk bercerita, saat tiada siapa sudi menadahkan telinga. Sakit. Sukar. Perit. Jerihnya kehidupan.

Saat tubuh kecil ini meminta belas untuk seketika beradu, lalu suara hati kedengaran. Bisikan demi bisikan. Bangun!! Kehidupan ini terlalu singkat untuk berehat dari berjuang. Terlalu rugi mereka yang mensia-siakan waktu lenang di saat tanggungjawab amanah masih menagih janji.

Lalu dipaksakan jua sekujur tubuh untuk bangkit, mengisi setiap waktu yang tersisa agar lebih bermakna. Perjalanan masih jauh, cita-cita dan impian dalam perjuangan kemanusiaan membangkitkan kembali tenaga yang berbaki.

Sedarlah kini diri sudah dewasa, dan usia bertambah menanti tua yang bakal tiba. Sedang waktu itu terlalu singkat, dimanfaatkan ataupun dibazirkan ia tetap berlalu. Dan akan ada waktu rehat yang panjang, sesudah usai riwayat kehidupan. 

Rupanya inilah kehidupan. Dan aku pemuda yang geraknya dalam diam, yang kelihatan kaku di mata insan, yang lesu pada pandangan orang. Cukuplah yang tahu aku sedang berjuang, sebuah bekal ketamadunan yang akan aku tinggalkan. Generasi rabbani yang kenal akan Tuhan, saat aku hanya sendirian berjuang untuk merealisasikan sekudus impian.

Moga diberikan kekuatan sepuluh tenaga pemuda dan tenteraMU yang berjuang. Ketika aku melihat mustahilnya sebuah impian, di sana ada ruh dan bayang yang menghulurkan tangan. Bantulah aku wahai Tuhan untuk melihat berdirinya generasi kecil imam, sebelum aku diangkat diusung pulang. Biar perjalanan bersendirian, biar berjuang tidak berteman, cukuplah dihati adanya Tuhan Yang Menciptakan.

Damailah duhai hati.Perjuangan menjulang agama pasti ada pertolongan walau ujian tidak pernah surut bertandang.

Dunia akhir zaman, ummat perlu dipersiapkan. Rugilah mereka yang menanti hadirnya saat-saat  Islam gemilang, sedang lamunan mereka tidak sesekali membantu perjuangan.Ampunkan mereka wahai Tuhan.

Thursday, April 14, 2011

Graduation!

Share


Alhamdulillah.. akhirnya perjuangan menemui garisan terakhir, marathon selama 16 tahun bertatih dan merangkak di susur akademi pengajian akhirnya menuaikan sebuah kehidupan. “Selamat Menjadi Manusia, anak2” itu antara ucapan kalimat terakhir yang diberikan oleh pensyarah2 kami dalam pertemuan terakhir sebaik sahaja kami usai memhabiskan peperiksaan akhir sem..
 
Dan sejuta satu perasaan yang terbit di jiwa, menjadikan ia satu perasaan yang tidak mampu diucap dengan kata kata. Gembira, bahagia, puas, sedih, blur dan sejuta satu macam lagi yang bermain di kotak kecil jiwa. Dan di sini sudahnya, dalam jerit perih perjuangan menjadi seorang mahasiswa..jatuh bangun kehidupan akhirnya mematang sekudus hati kecil ini, dan hari ini seakan satu kemerdekaan baru telah tiba..

Terima kasih guru-guru, cikgu-cikgu, pensyarah-pensyarah dan semua golongan pendidik..juga buat kawan-kawan dan teman-teman tersayang, hadir kalian secara langsung mahupun tidak sebenarnya telah mewarnai kehidupan saya..Terima kasih sekali lagi, dan terima kasih tidak terhingga.
Hari ini, sekujur badan ini sudah dikatakan sempurna diasuh menjadi manusia..moga-moga kemanusiaan yang disemai menjadikan saya hamba Tuhan yang redha dan bersyukur dengan ketentuan dan ujian di hari-hari mendatang.

Terima kasih buat semua, kedatangan Mei yang bakal tiba kali ini amat bermakna. Seakan saya di lahir buat kali kedua, graduasi bukan tiket utk berumahtangga. Bukan juga sekadar pelepasan untuk kita menentukan hala tuju seterusnya, tetapi yang lebih penting ia bakal menjadi titik tolak kepada sebuah perjuangan yang lebih besar. Perjuangan untuk menjadi Ibad Ar Rahman yang sempurna. Yang cemerlang akal fikirnya, dan yang lebih penting yang berwawasan gerak hidupnya. 

Terima kasih bonda, terima kasih abang-abang dan kakak-kakak..segulung ijazah yang bakal saya terima adalah milik anda semua. Terima kasih di atas jerih perih dalam menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Hadir kalian adalah purnama, yang menerangkan malam yang gelita..terima kasih hati, terima kasih cinta..
Terima kasih.

Monday, April 11, 2011

Umran Bashari

Share


Bismillahirrahmi Rahim.. kali ini ingin saya berkongsi tentang satu matlamat penting dalam hidup saya. Matlamat yang mungkin lain dari anda semua, matlamat ini akan saya realisasikan melalui beberapa stages dan phases yang harus saya lalui sebaik sahaja saya tamat belajar nanti. Insya Allah.

Waktu kecil, saya sering ditanya apa cita-cita saya..saya masih ingat saya dengan yakin menjawab “Saya akan ubah dunia”. Terlalu general, umum sekali..dan ia membuat guru saya tersenyum.Kemudian, meningkat remaja soalan yang sama diulangi, dalam perkataan yang sedikit berbeza. “Apa ingin anda lakukan sekiranya anda diberi satu doa yang akan dimakbulkan terus, dalam kertas itu juga saya tulis “ Saya ingin ubah dunia.”.

Kemudian, selepas menerima result SPM, sewaktu borang UPU ingin diisi..abang saya menasihatkan, “ambillah bidang perguruan, mudah kerja nanti”. Dengan yakin, saya jawab “Taknaklah duduk di bawah telunjuk orang”. Abang saya kelihatan agak terkejut, lalu dia mbalas “Tengoklah nanti, bidang yang kau pilih susah nak dapat kerja”. Mungkin geram.Saya diam.Bukan saya memperkecilkan jasa guru-guru, tetapi saya sedang menghalakan sesuatu yang lebih besar untuk hidup saya.

Tetapi waktu itu, saya belum tahu apa sebenarnya ingin saya capai. Belum tahu apa sebenarnya yang saya kejar, ia bagaikan saya menuruti kata hati kecil. Ada sesuatu yang menanti di sana, cuma yang penting saya perlu terus melangkah.  Sehingga ia datang sendiri, perlahan demi perlahan. Dari kaburnya impian menjadi sebuah misi kehidupan. Itulah yang saya impikan sejak kecil, untuk mengubah dunia.

Impian ini saya kongsikan dengan bonda tercinta, sewaktu ditanya apa yang ingin saya lakukan dalam kehidupan. Saya jawab,ia lebih agung dari sebuah cita-cita, lebih besar dari memilih pasangan hidup dan lebih berharga dari mengumpul gedung harta. Nampak lirik bonda tersenyum , kerana cita-cita saya tidak seperti yang lain. Dan matlamat ini saya kongsikan dengan kawan-kawan rapat, sewaktu kami berborak apa yang ingin kami capai dlm tempoh 20-30 tahun akan datang.

Matlamat saya, sebuah kompleks anak yatim akan megah berdiri. Di dalamnya akan bergema suara anak-anak kecil yatim terpilih yang hafaz Al Quran, yang di didik dan dilatih untuk bersedia menghadapi cabaran ummah masa kini. Yang hebat dalam bidang computer, ekonomi, ketenteraan, agama, falsafah dan banyak lagi yang bukan sekadar diajar tentang teori di buku semata-mata. Usia saya mungkin singkat untuk mengubah dunia, tetapi akan saya semai dan bentuk benih-benih yang bakal mekar subur tumbuh mengharumkan nama Islam.

Di sinilah peluang untuk saya membentuk manusia, membangunkan modal insan yang diperkatakan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya Mukadimah, yang beliau sebutkan sebagai Umran Bashari (pembangunan insan). Peluang untuk membangunkan mereka yang bakal pula membangunkan generasi seterusnya di dalam dunia reality yang penuh mehnah dan tribulasi.Dan kehidupan saya sebagai perancang bandar memberi satu kekuatan untuk saya bergerak ke arahnya.

Ada sebab kenapa saya memilih untuk membangunkan anak-anak yatim, setelah saya meneliti dan mengkaji beberapa aspek yang memberikan kekuatan besar. Malah sewaktu berada di samping anak-anak yatim ini, ada aliran tenaga yang membuat saya untuk terus bersemangat untuk bersama dengan mereka. Dan untuk merealisasikan matlamat ini, saya harus bergerak pantas. Inovatif dan agresif. Saya perlu bersedia menstabilkan ekonomi hidup sebelum usia mencecah angka 30.

Semoga Allah hadirkan juga penolong hidup yang bercita-cita juga seperti ini, agar cita-cita dan matlamat tidak hanyut dan tenggelam begitu sahaja. Semoga Allah menjaga hati saya, dari tertawan pada godaan dunia sepanjang perjalanan merealisasikan cita-cita. Dalam ujian dan dugaan yang bakal mencurah tiba, teman itu tidak harus kerdil semangat juangnya. Moga Allah bersama dalam memilihnya.

Inilah kehidupan dan umur yang akan saya wakafkan kepada agama, sekecil dan sekudus sumbangan yang mampu saya berikan. Umur yang bersisa, peluang dan ruang yang terbuka, akan menjawab tentang berjaya atau tidaknya saya merealisasikan impian ini. Simpan artikel ini, datang dan temui saya untuk sedikit masa nanti. Tanyakan sudah di tahap mana saya merealisasikan impian dan matlamat hidup saya ini.
Pesan Hasan Al Hudaibi, “Tegakkan Islam dalam dirimu, pasti tertegaknya Islam di sekelilingmu”.