Seindah KalamNya

Tuesday, October 11, 2011

Mengajar erti kehilangan

Share


Semalaman saya menghadamkan kitab Al Hikam, Karangan Ibn Atta`ilah seorang waliyyullah, membuahkan kelapangan di jiwa. Banyak petikan dan tulisan beliau yang terlalu dalam untuk direnungkan, golongan tasauf mengatakan buku ini buku di peringkat tinggi bagi sesiapa yang ingin berjalan menuju Tuhan. Benar.

Walau ia bukan buku cetakan sebenar, yang berwarna kuning yang pernah saya bertalaqqi dengan seorang guru. Namun Syarah Al Hikam ini amat membuatkan saya sangat teruja untuk membeleknya sampai ke muka akhir. Namun..setiap helaian di rasakan cukup bermakna, dan mengambil masa untuk direnung setiap halamannya. Sayangnya, saya cuma menemui jilid yang ke-2. Bermakna Jilid yang pertama bab yang sebelumnya sudah habis dijual.

Kitab Al Hikam ni menarik untuk dibaca, bagus untuk sesiapa yang mencari tujuan kehidupan dan sebab sebenar qasad penghambaan. Sewaktu saya bertalaqqi dengan mursyid dulu saya masih di tingkatan 3. Masih muda yang teramat, namun saya mendapati Hikam ini perlu diajar kepada setiap hamba yang mencari redha kerana inilah inti sebenar ilmu syariah dan feqah.

 Ilmu syariah hanya mengajar kita bagaimana cara untuk melakukan ibadah, manakala feqah mentakrifkan kaedah-kaedah yang sesuatu syariat dijalankan mengikut kesusaian masa dan keadaan. Pastinya, berdasarkan dalil dan nas yang qat`ei. Manakala tasauf mengajar erti sebenar kehambaan, apa yang diminta oleh Allah dari hambaNya. Kita boleh solat dan beramal, tapi sejauhmana hati kita sampai menghadap Allah. 

Dari kitab Al Hikam inilah yang mengubat setiap duka lara di sepanjang hidup saya, bila mana kita tahu dan sedar bahawa setiap yang berlaku adalah susunan takdir Allah untuk kita. Berhenti untuk sedih bila ditolak, digagalkan, dicemuh, dikritik, difitnah dan bermacam lagi. Dan berhenti untuk terlalu bergembira apabila dipuji, disayangi, diterima, dihadiahkan atau apa sahaja. Kerana bukankah semua itu dari Tuhan Yang Maha Esa.

Pernahkah terjadi dalam hidup kita bila Allah menemukan kita dengan seseorang, yang membuat kita mengaguminya di satu tempoh itu. Yang duduk sebentar bersama kita, tanpa kita kenali siapa gerangannya. Yang kemudian Allah memisahkan kita darinya sehingga kita hampir melupainya, lalu DIA hadirkan kembali seseorang itu. 

Mungkin waktu itu, kita belum bersedia secara nuraninya. Boleh jadi orang itu pada waktu itu, terlalu buruk untuk kita. Boleh jadi DIA ingin mengajar kita erti kehilangan supaya kita tahu nilai kehadirannya. Boleh jadi hadirnya waktu itu boleh melalaikan kita, lalu DIA pisahkan sementara agar mantap iman di dada.Boleh jadi kesedihan untukmu lebih bermakna di sisi Tuhan berbanding kegembiraanmu hanya melalaikan. 

Dan hari ini, cuba kau hitung satu persatu ketentuan Tuhan terhadap dirimu. Hisab setiap satu hikmah yang di sebalik kesedihan dan keperitan yang kau lalui, bukankah Allah telah memberi yang terbaik untukmu waktu ini. Akhirnya wujud dirimu hari ini, di dalam keadaan yang  kau sahaja mampu tafsirkan. =)

Allah menyusun perjalanan hidupmu dengan keadaan yang terbaik, menyediakanmu jalan yang terbentang, dan memberikanmu guru-guru cemerlang untuk kehidupan. Mereka adalah orang yang kau rasa salah dipertemukan, mereka adalah keadaan yang tidak patut menimpamu, mereka adalah perasaan yang menyakitkan. Kerana dunia adalah madrasah kehidupan insan.

Maka bergembiralah di saat kesedihan, dan beringatlah di saat kebahagiaan. Alangkah indahnya kalau kita mampu hidup dan bersama di kalangan mereka yang berfikir seperti ini. Masih mencari dan akanku terus mencari.

Ingatlah orang bijak adalah mereka yang sibuk bersiap untuk apa yang Allah tetapkan, manakala si bodoh sibuk merancang apa yang ditetapkan takdir Tuhan.

0 comments: