Bismillahir rahmani rahim..sudah seminggu lebih Aidil Adha mengucapkan salam kedatangannya, menemui hamba-hamba Tuhan yang mengimani keEsaanNya. Sudah seminggu lebih juga hati saya melonjak-lonjak untuk menulis sepatah dua bicara di sini, namun hari demi hari saya pendamkan ia jauh-jauh ke lubuk hati. Membiarkan tetamu-tetamu misterinya datang dan pergi dengan perasaan hampa dan kecewa. =)
Waktu demi waktu yang silih berganti, serasa nafas yang melepasi rongga dada ini kian singkat. Dihitung satu persatu, umur dan usia semakin hari makin meningkat. Terasa muda? Tidak. Serasa hati ini sudah terlalu tua, teringat perbualan kakak dan abang saya yang baru sahaja menyambut hari kelahiran mereka. Sudah memasuki alam 40-an, namun kata mereka jiwa masih seperti muda remaja.
Hati kecil ini terhenti di lamunan jiwa, duhai diriku sebenarnya kita sudah lama bersama. Entah bila kita akan berpisah, sedangkan amalku masih begini. Mereka di usiaku sudah mula mendirikan rumah tangga, membina zuriat dan kehidupan sendiri. Sedang aku masih begini.Terasa cukup tua, sedang aku masih belum mengenal Tuhan.
Dulu aku ingat yang menyekatku dari berumahtangga cuma pesanan biasa, namun perjalanan takdir membawa ke daerah sedar. Perjalanan kehambaan yang baru kumulakan, rupanya terlalu banyak yang belum kulunaskan. Perkahwinan hanya cebisan, bukan aku tidak mampu. Kerjaya dan segala kelengkapan kehidupan sudah membuat aku mampu, bahkan terasa sememangnya aku tersangat mampu. Tetapi jauh di dalam hati, aku temui sejuta satu kekurangan. Bagaimana harus kupikul tanggungjawab berat itu sedang aku masih liat mendirikan tahajud, masih culas dengan dhuha dan hati masih lesu untuk mengungkap zikir.
Perjalanan kehidupan membuat mataku melihat Empunya Alam -Ar Rahman, dari segenap kesusahan dan kesenangan. Aku lihat kudratNya yang mengatur setiap perjalanan takdir,rahmat dan kasih sayangNya dalam setiap ruang kehidupan insan. Sedang aku masih ingkar terhadap perjalanan takdir, masih meragui akan sayang kasihNya Al Muqaddim (Maha Mendahului). Sedang DIA telah menulis setiap butir rezeki, kehidupan dan kematian sejak belum aku dilahirkan.
Butir demi butir perkataan Hikam kuhadami, satu persatu jatuh luruh ke pelupuk nurani. Hari demi hari yang berlalu, itulah saat-saat yang kurasakan penyesalan. Betapa aku insan kerugian,sibuk mengejar bayang dan teduh dunia, yang sebenarnya fana. Sedang satu hari nanti, aku akan pulang keseorangan mengadap Tuhan. Tanpa teman. Tanpa sebutir nasi menjadi bekalan. Tanpa harta yang mendamaikan. Dan paling kusedih adalah tanpa orang-orang yang aku sayang.
Ketika itu, bukankah hanya aku dan Tuhan, samada DIA bersifat Ar Rahman (Penyayang) atau Al Hakim (Mengadili),semua itu di atas kehendakNya. Siapa aku untuk memilih, untuk memaksa DIA menerima aku sedang waktu hidup akulah yang angkuh meninggalkanNya. Ketika ini aku menulis, tanpa sebutir amal yang kurasa mampu menebus dosa-dosaku dan menjanjikan aku syurgaNya.
Saat kau membaca tulisan ini, ada sebuah jiwa yang sedang sarat dengan sejuta perasaan kehambaan. Yang takut kepada ancaman azab yang menyakitkan, yang sedih kerana kemanisan dunia yang terpaksa ditinggalkan, yang merajuk kerana diri semakin dilupakan, yang suka kerana saat ini diberi kesedaran dan yang tenteram kerana segalanya telah kuserahkan pada Ar Rahman. Hasbunallahu wa nikmal wakil.
Nikmal maula wa nikman nasiir.
Wahai Tuhanku, jika ada amalku yang ada di dunia ini, izinkan untukku sedekahkah segala amal kebajikanku kepada mereka yang ingkar padaMu agar satu hari mereka mampu sujud kepadaMu. Dan jika ada amal kebajikan yang tercatit untukku di syurgaMu, izinkan aku untukku sedekahkan kepada hamba-hambaMu yang beriman yang terseksa di nerakaMu.
Biar cuma tinggal diriku, berdiri dalam dakap rindu padaMu yang berterusan. Itu lebih nikmat dari manis syurga biar setitis pun tidak pernah kurasa manisnya.