Seindah KalamNya

Sunday, January 2, 2011

ERTI MENERIMA ISLAM

Share

 

Apa ertinya menerima Islam ? Apakah ini bererti bahawa sesiapapun yang mengucapkan "saya adalah seorang Muslim atau saya telah menerima Islam" automatik menjadi seorang Muslim?

Apakah ini bererti seperti seorang penganut Brahmana yang mengucapkan mentera berbahasa Sanskrit, atau seperti seseorang yang mengucapkan ungkapan-ungkapan berbahasa Arab, walaupun tidak memahami makna yang terkandung dalam ucapan mereka, pantas disebut seorang Muslim? Sekarang tentu anda dapat menjawab pertanyaan di atas. Pasti anda menjawab: "Tidak".

Anda pasti akan mengatakan bahawa erti menerima Islam adalah bahawa seseorang harus dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad saw, dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia adalah seorang Muslim, dan barangsiapa yang tidak berbuat demikian, ia bukanlah seorang Muslim.

SYARAT PERTAMA: PENGETAHUAN

Dari jawapan di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa pertama sekali, Islam adalah sebutan terhadap pengetahuan dan tindakan mempraktikkan pengetahuan tersebut.  Seseorang tidak dapat menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana Islam tidak diperolehi kerana faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan. Kalau orang yang bersangkutan tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, bagaimana ia boleh menyatakan keimanannya kepada ajaran tersebut dan mempraktikkannya?

Dan bila ia menyatakan keimanannya tanpa kesedaran dan tanpa pengertian mengenai ajaran tersebut, bagaimana ia dapat menjadi seorang Muslim? Adalah tidak mungkin untuk menjadi seorang Muslim dan hidup sebagai seorang Muslim tanpa mengetahui apa-apa. Seseorang yang dilahirkan di tengah-tengah keluarga Muslim, mempunyai nama seperti seorang Muslim, berpakaian seperti seorang Muslim, dan menyatakan dirinya sebagai seorang Muslim, sebenarnya dia bukanlah seorang Muslim.

Kerana, seorang Muslim yang sebenarnya hanyalah seorang yang tahu, apa makna Islam yang sebenarnya dan menyatakan keimanannya,.kepada Islam dengan penuh kesedaran. Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang Muslim bukanlah perbezaan dalam nama. Nama Joni tidaklah bererti bahawa pemiliknya adalah seorang kafir dan nama Abdullah pemiliknya adalah seorang Muslim.

Demikian pula orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia seorang kafir, dan yang memakai sarung seorang Muslim. Tidak, tidak demikian. Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dan seorang muslim adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana ia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan hubungan Tuhan dengan dirinya, dan tidak tahu cara hidup yang mana yang harus dijalaninya di dunia ini, yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila seorang anak dari orang tua yang Muslim tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini, maka apa alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya sebagai seorang Muslim?
Saudara-saudara!

Saya minta anda semua mendengarkan baik-baik apa yang sedang saya huraikan dengan penuh tekanan ini, dan memikirkannya dengan tenang tanpa emosi. Anda semua harus mengerti benar-benar bahawa memperoleh atau kehilangan kurniaan Allah yang terbesar yang anda syukuri itu, adalah tergantung seluruhnya pada pengetahuan.

Bila anda tidak mempunyai pengetahuan untuk itu, anda sama-sekali tidak akan dapat memperoleh kurnia itu. Bahkan kalau anda mempunyai sebahagian kecil sahaja dari anugerah itu, maka kerana ketidaktahuan anda, anda akan selalu terancam bahaya kehilangan milik anda itu. Orang yang mestinya boleh memiliki anugerah yang besar itu, kerana kebodohannya, mungkin akan menganggap bahawa dirinya adalah seorang Muslim, padahal sebenarnya ia bukanlah seorang Muslim.
  

Perumpamaan orang yang sama-sekali tidak tahu perbezaan antara Islam dan kufr serta perbezaan antara Islam dan syirik adalah ibarat seseorang yang sedang berjalan pada sebuah lorong yang gelap. Mungkin sekali, ketika ia sedang mengikuti sebuah lorong yang lurus, langkahnya menyeleweng ke arah yang lain dan ia tidak sedar bahawa ia telah menyeleweng dari arah yang lurus yang harus ditempuhnya. Dan mungkin sekali, di tengah jalan ia akan bertemu dengan seorang dajjal yang akan mengatakan kepadanya: "Hai Nak! Kamu telah tersesat dalam kegelapan. Mari, kupimpin engkau kepada tujuanmu".

 Pejalan yang malang itu, kerana gelap tidak mampu melihat dengan matanya sendiri mana arah yang lurus. Kerana itu, tanpa curiga apa-apa, ia akan segera menyambar tangan si dajjal dan terus berpegang kepadanya, dan si dajjal akan membawanya ke jalan yang sesat. Bahaya ini mungkin sekali akan menimpa pejalan tersebut, kerana ia sendiri tidak memiliki obor apa pun dan kerananya ia tidak biasa melihat tanda-tanda di sepanjang jalan yang ditempuhinya.

Apabila ia mempunyai obor, tentulah ia tidak akan tersesat atau disesatkan oleh orang lain. Dari contoh ini anda boleh memahami bahawa, bahaya terbesar bagi seorang Muslim adalah ketidaktahuannya sendiri akan ajaran Islam, dan ketidaktahuannya akan apa yang diajarkan oleh al-Qur'an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

 Kerana tidak mempunyai pengetahuan, ia pasti akan meraba-raba sahaja sepanjang jalan, dan akan disesatkan oleh dajjal. Tetapi bila ia mempunyai obor pengetahuan, maka ia akan mampu melihat jalan Islam yang lurus pada setiap langkah dalam hidupnya, melihat dan menghindari jalan-jalan kufr, syirk, bid'ah dan tidak bermoral yang menghalang jalannya, dan bila seorang penyesat ditemuiya di tengah jalan, maka setelah bertukar kata sejenak dengannya, ia pasti akan segera sedar, bahawa orang yang ditemuinya itu adalah seorang yang jahat dan tidak boleh diikuti.

 Artikel asal: ABU A’LA AL-MAUDUDI

0 comments: