Bismillahirrahmi Rahim.. kali ini ingin saya berkongsi tentang satu matlamat penting dalam hidup saya. Matlamat yang mungkin lain dari anda semua, matlamat ini akan saya realisasikan melalui beberapa stages dan phases yang harus saya lalui sebaik sahaja saya tamat belajar nanti. Insya Allah.
Waktu kecil, saya sering ditanya apa cita-cita saya..saya masih ingat saya dengan yakin menjawab “Saya akan ubah dunia”. Terlalu general, umum sekali..dan ia membuat guru saya tersenyum.Kemudian, meningkat remaja soalan yang sama diulangi, dalam perkataan yang sedikit berbeza. “Apa ingin anda lakukan sekiranya anda diberi satu doa yang akan dimakbulkan terus, dalam kertas itu juga saya tulis “ Saya ingin ubah dunia.”.
Kemudian, selepas menerima result SPM, sewaktu borang UPU ingin diisi..abang saya menasihatkan, “ambillah bidang perguruan, mudah kerja nanti”. Dengan yakin, saya jawab “Taknaklah duduk di bawah telunjuk orang”. Abang saya kelihatan agak terkejut, lalu dia mbalas “Tengoklah nanti, bidang yang kau pilih susah nak dapat kerja”. Mungkin geram.Saya diam.Bukan saya memperkecilkan jasa guru-guru, tetapi saya sedang menghalakan sesuatu yang lebih besar untuk hidup saya.
Tetapi waktu itu, saya belum tahu apa sebenarnya ingin saya capai. Belum tahu apa sebenarnya yang saya kejar, ia bagaikan saya menuruti kata hati kecil. Ada sesuatu yang menanti di sana, cuma yang penting saya perlu terus melangkah. Sehingga ia datang sendiri, perlahan demi perlahan. Dari kaburnya impian menjadi sebuah misi kehidupan. Itulah yang saya impikan sejak kecil, untuk mengubah dunia.
Impian ini saya kongsikan dengan bonda tercinta, sewaktu ditanya apa yang ingin saya lakukan dalam kehidupan. Saya jawab,ia lebih agung dari sebuah cita-cita, lebih besar dari memilih pasangan hidup dan lebih berharga dari mengumpul gedung harta. Nampak lirik bonda tersenyum , kerana cita-cita saya tidak seperti yang lain. Dan matlamat ini saya kongsikan dengan kawan-kawan rapat, sewaktu kami berborak apa yang ingin kami capai dlm tempoh 20-30 tahun akan datang.
Matlamat saya, sebuah kompleks anak yatim akan megah berdiri. Di dalamnya akan bergema suara anak-anak kecil yatim terpilih yang hafaz Al Quran, yang di didik dan dilatih untuk bersedia menghadapi cabaran ummah masa kini. Yang hebat dalam bidang computer, ekonomi, ketenteraan, agama, falsafah dan banyak lagi yang bukan sekadar diajar tentang teori di buku semata-mata. Usia saya mungkin singkat untuk mengubah dunia, tetapi akan saya semai dan bentuk benih-benih yang bakal mekar subur tumbuh mengharumkan nama Islam.
Di sinilah peluang untuk saya membentuk manusia, membangunkan modal insan yang diperkatakan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya Mukadimah, yang beliau sebutkan sebagai Umran Bashari (pembangunan insan). Peluang untuk membangunkan mereka yang bakal pula membangunkan generasi seterusnya di dalam dunia reality yang penuh mehnah dan tribulasi.Dan kehidupan saya sebagai perancang bandar memberi satu kekuatan untuk saya bergerak ke arahnya.
Ada sebab kenapa saya memilih untuk membangunkan anak-anak yatim, setelah saya meneliti dan mengkaji beberapa aspek yang memberikan kekuatan besar. Malah sewaktu berada di samping anak-anak yatim ini, ada aliran tenaga yang membuat saya untuk terus bersemangat untuk bersama dengan mereka. Dan untuk merealisasikan matlamat ini, saya harus bergerak pantas. Inovatif dan agresif. Saya perlu bersedia menstabilkan ekonomi hidup sebelum usia mencecah angka 30.
Semoga Allah hadirkan juga penolong hidup yang bercita-cita juga seperti ini, agar cita-cita dan matlamat tidak hanyut dan tenggelam begitu sahaja. Semoga Allah menjaga hati saya, dari tertawan pada godaan dunia sepanjang perjalanan merealisasikan cita-cita. Dalam ujian dan dugaan yang bakal mencurah tiba, teman itu tidak harus kerdil semangat juangnya. Moga Allah bersama dalam memilihnya.
Inilah kehidupan dan umur yang akan saya wakafkan kepada agama, sekecil dan sekudus sumbangan yang mampu saya berikan. Umur yang bersisa, peluang dan ruang yang terbuka, akan menjawab tentang berjaya atau tidaknya saya merealisasikan impian ini. Simpan artikel ini, datang dan temui saya untuk sedikit masa nanti. Tanyakan sudah di tahap mana saya merealisasikan impian dan matlamat hidup saya ini.
Pesan Hasan Al Hudaibi, “Tegakkan Islam dalam dirimu, pasti tertegaknya Islam di sekelilingmu”.
0 comments:
Post a Comment