Cinta..langkah pertama menjadi manusia.
Kita ingin hidup bukan sekadar hamba, yang hanya patuh apabila disuruh. Tetapi kita harus hidup di atas nama Cinta, cinta pada Rabb Yang Esa.
Kerana cinta, segala amal kita sempurna. Cinta mengajar kita untuk terus meluahkan segala rindu yang terpendam, cintalah yang menghampar baldu keimanan saat kita berjalan menuju Tuhan. Cinta membuat kita rasa hina apabila berdiri di hadapan Yang Dicintai, merasa kuat apabila keseorangan dan merasa besar apabila diperkecilkan. Kerana kita percaya dengan wujudnya cinta Yang Maha Sempurna.
Cintalah yang menguatkan jiwa, untuk melangkah meninggalkan yang fana(sementara) untuk memilih yang baqa’ (kekal selamanya). Cinta yang membangunkan kita, di saat mata dan badan merayu untuk menyambung lena. Cintalah yang membuat kita melangkah di saat tiada yang sudi bersama, dan cintalah yang membisikkan semangat di saat kita lelah dan kalah.
Kerana cinta, kita dicipta. Untuk kita kenal siapa DIA, untuk kita taati setiap perintahNya bukan sekadar menjadi hamba. Kita dicipta untuk dicintai, dan kelak untuk mencintai. Kerana cintaNya, dosa yang terpalit begitu sabar DIA memaafkan. Menanti waktu untuk kita datang menghadapnya, kerana cinta DIA melupakan segala dosa dan noda kita. Yang pernah dulu menderhakainya, lalu dibaluti hati kita dengan maghfirahNya.
Dan syarat pertama untuk bercinta adalah dengan kenal siapa kita, dari usul dan tujuan kewujudan kita di alam dunia. Kenali siapa kita itulah yang paling sukar, saat kita merasa kita sudah kenal diri sendiri. Maka benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta.
Kata murabbiku: Jika kau sendiri tidak mengenali diri, mengapa harus cintai aku.
0 comments:
Post a Comment