Seindah KalamNya

Monday, November 14, 2011

Lama sudah kita bersama.

Share

Bismillahir rahmani rahim..sudah seminggu lebih Aidil Adha mengucapkan salam kedatangannya, menemui hamba-hamba Tuhan yang mengimani keEsaanNya. Sudah seminggu lebih juga hati saya melonjak-lonjak untuk menulis sepatah dua bicara di sini, namun hari demi hari saya pendamkan ia jauh-jauh ke lubuk hati. Membiarkan tetamu-tetamu misterinya datang dan pergi dengan perasaan hampa dan kecewa. =)

Waktu demi waktu yang silih berganti, serasa nafas yang melepasi rongga dada ini kian singkat. Dihitung satu persatu, umur dan usia semakin hari makin meningkat. Terasa muda? Tidak. Serasa hati ini sudah terlalu tua, teringat perbualan kakak dan abang saya yang baru sahaja menyambut hari kelahiran mereka. Sudah memasuki alam 40-an, namun kata mereka jiwa masih seperti muda remaja.

Hati kecil ini terhenti di lamunan jiwa, duhai diriku sebenarnya kita sudah lama bersama. Entah bila kita akan berpisah, sedangkan amalku masih begini. Mereka di usiaku sudah mula mendirikan rumah tangga, membina zuriat dan kehidupan sendiri. Sedang aku masih begini.Terasa cukup tua, sedang aku masih belum mengenal Tuhan.
 
Dulu aku ingat yang menyekatku dari berumahtangga cuma pesanan biasa, namun perjalanan takdir membawa ke daerah sedar. Perjalanan kehambaan yang baru kumulakan, rupanya terlalu banyak yang belum kulunaskan. Perkahwinan hanya cebisan, bukan aku tidak mampu. Kerjaya dan segala kelengkapan kehidupan sudah membuat aku mampu, bahkan terasa sememangnya aku tersangat mampu. Tetapi jauh di dalam hati, aku temui sejuta satu kekurangan. Bagaimana harus kupikul tanggungjawab berat itu sedang aku masih liat mendirikan tahajud, masih culas dengan dhuha dan hati masih lesu untuk mengungkap zikir.

Perjalanan kehidupan membuat mataku melihat Empunya Alam -Ar Rahman, dari segenap kesusahan dan kesenangan. Aku lihat kudratNya yang mengatur setiap perjalanan takdir,rahmat dan kasih sayangNya dalam setiap ruang  kehidupan insan. Sedang aku masih ingkar terhadap perjalanan takdir, masih meragui akan sayang kasihNya Al Muqaddim (Maha Mendahului). Sedang DIA telah menulis setiap butir rezeki, kehidupan dan kematian sejak belum aku dilahirkan.

Butir demi butir perkataan Hikam kuhadami, satu persatu jatuh luruh ke pelupuk nurani. Hari demi hari yang berlalu, itulah saat-saat yang kurasakan penyesalan. Betapa aku insan kerugian,sibuk mengejar bayang dan teduh dunia, yang sebenarnya fana. Sedang satu hari nanti, aku akan pulang keseorangan mengadap Tuhan. Tanpa teman.  Tanpa sebutir nasi menjadi bekalan. Tanpa harta yang mendamaikan. Dan paling kusedih adalah tanpa orang-orang yang aku sayang.

Ketika itu, bukankah hanya aku dan Tuhan, samada DIA bersifat Ar Rahman (Penyayang) atau Al Hakim (Mengadili),semua itu di atas kehendakNya. Siapa aku untuk memilih, untuk memaksa DIA menerima aku sedang waktu hidup akulah yang angkuh meninggalkanNya. Ketika ini aku menulis, tanpa sebutir amal yang kurasa mampu menebus  dosa-dosaku dan menjanjikan aku syurgaNya.

Saat kau membaca tulisan ini, ada sebuah jiwa yang sedang sarat dengan sejuta perasaan kehambaan. Yang takut kepada ancaman azab yang menyakitkan, yang sedih kerana kemanisan dunia yang terpaksa ditinggalkan, yang merajuk kerana diri semakin dilupakan, yang suka kerana saat ini diberi kesedaran dan yang tenteram kerana segalanya telah kuserahkan pada Ar Rahman. Hasbunallahu wa nikmal wakil. 

Nikmal maula wa nikman nasiir.

Wahai Tuhanku, jika ada amalku yang ada di dunia ini, izinkan untukku sedekahkah segala amal kebajikanku kepada mereka yang ingkar padaMu agar satu hari mereka mampu sujud kepadaMu. Dan jika ada amal kebajikan yang tercatit untukku di syurgaMu, izinkan aku untukku sedekahkan kepada hamba-hambaMu yang beriman yang terseksa di nerakaMu. 

Biar cuma tinggal diriku, berdiri dalam dakap rindu padaMu yang berterusan. Itu lebih nikmat dari manis syurga biar setitis pun tidak pernah kurasa manisnya.

Saturday, November 5, 2011

Melankolik senandung duka.

Share

Allahu akbar..Allahu akbar..Allahu akbar..Wa lillahil hamd.

Sayu kedengaran takbir di malam Hari Raya Aidiladha ketika ini, sambil merenung sejadah putih dihadapan.Titik manik jatuh satu persatu, laju menuruni pipi..(ayat macam novel tak? haha) =D

Hehe, sedih memang cukup sedih. Manakan tidak, di waktu insan lain sedang sibuk meraikan bersama keluarga tercinta, saya di sini keseorangan. Betapa irama melankolik bersenandung duka.Bertemankan computer dan segala yang tak bernyawa, mujur ada internet sesekali buat peneman duka. Kesibukan hanyalah satu alasan, sebetulnya Allah tidak mengizinkan saya untuk pulang buat pertama kali untuk merasai bagaimana perasaan berjauhan.

DIA datangkan ujian kesakitan, sakit kepala seakan migraine cukup menyeksakan di malam hari. Rasanya projek di ofis tidaklah kuat memberi tekanan, entahlah..mungkin ini sebahagian dari ujianNya. Sesekali terasa ingin mengambil cuti rehat, mahu jauh dari kesibukan dunia.

Namun, keseorangan di malam Hari Raya tidaklah sesuatu yang menyedihkan. Sekurang-kurangnya ada peluang untuk bersolat dan berpuasa dengan amalan yang sedikit sempurna di waktu wukuf ketika ini. Itu nikmat kegembiraan yang lebih besar, waktu dan kesempatan yang diberikan untuk kita benar-benar merasai betapa kita keseorangan di dunia. Sebagaimana satu hari nanti, kita juga akan pergi berseorangan menghadapNya.

 Alhamdulillah, tahun ini pertama kali saya melaksanakan ibadah korban. Sekalipun ibadah itu terpaksa saya wakilkan kepada abang di bumi tumpah darah sana. Jika melihat apa yang kita lalui di waktu duka, benarlah sedih adalah perasaan yang selayaknya ada. Namun jika kita faham erti kehidupan, nyatalah DIA sedang mendidik kita pada setiap saat hembusan nafas melepasi rongga dada.

Selamat Hari Raya buat teman-teman, rakan dan semua yang mengenali. Ketika anda sedang seronok bersuka ria. Berpadalah kawan, mungkin di sana ada hati yang sedang berduka. Mereka adalah anak yatim yang kehilangan bonda mereka, si jiran yang sedang mengikat perut untuk sesuap makanan, dan ibnussabil yang sedang berjuang. Pekalah kepada mereka.

Salam kasih di hari lebaran, semoga pengorbanan memberi erti dan memaknakan kehidupan.

Tuesday, October 25, 2011

Jika kau sendiri tidak mengenali diri, mengapa cintai aku.

Share

Cinta..langkah pertama menjadi manusia.

Kita ingin hidup bukan sekadar hamba, yang hanya patuh apabila disuruh. Tetapi kita harus hidup di atas nama Cinta, cinta pada Rabb Yang Esa. 

Kerana cinta, segala amal kita sempurna. Cinta mengajar kita untuk terus meluahkan segala rindu yang terpendam, cintalah yang menghampar baldu keimanan saat kita berjalan menuju Tuhan. Cinta membuat kita rasa hina apabila berdiri di hadapan Yang Dicintai, merasa kuat apabila keseorangan dan merasa besar apabila diperkecilkan. Kerana kita percaya dengan wujudnya cinta Yang Maha Sempurna.

Cintalah yang menguatkan jiwa, untuk melangkah meninggalkan yang fana(sementara) untuk memilih yang baqa’ (kekal selamanya). Cinta yang membangunkan kita, di saat mata dan badan merayu untuk menyambung lena. Cintalah yang membuat kita melangkah di saat tiada yang sudi bersama, dan cintalah yang membisikkan semangat di saat kita lelah dan kalah.

Kerana cinta, kita dicipta. Untuk kita kenal siapa DIA, untuk kita taati setiap perintahNya bukan sekadar menjadi hamba. Kita dicipta untuk dicintai, dan kelak untuk mencintai. Kerana cintaNya, dosa yang terpalit begitu sabar DIA memaafkan. Menanti waktu untuk kita datang menghadapnya, kerana cinta DIA melupakan segala dosa dan noda kita. Yang pernah dulu menderhakainya, lalu dibaluti hati kita dengan maghfirahNya. 

Dan syarat pertama untuk bercinta adalah dengan kenal siapa kita, dari usul dan tujuan kewujudan kita di alam dunia. Kenali siapa kita itulah yang paling sukar, saat kita merasa kita sudah kenal diri sendiri. Maka benarlah kata pujangga, tak kenal maka tak cinta.

Kata murabbiku: Jika kau sendiri tidak mengenali diri, mengapa harus cintai aku.


Tuesday, October 18, 2011

Via emel

Share

Sebenarnya saya dilanda kemalasan untuk mengupdate blog, memandangkan ada dua tiga projek sedang disiapkan. Dan pagi tadi ada satu emel saya terima dari hamba Allah, yang  katanya junior saya. Maaf la yea, ramai sangat junior saya ni. Tapi dari emel address beliau, saya buat search di facebook. Jumpalah tuannya..he he. 

Sebahagian yang saya hitamkan adalah untuk menutup identiti penulis dan diri saya sendiri bagi mengelakkan spam. Mana la tahukan. Saya print screen, tujuan untuk mbalas isi emel secara umum memandangkan saya tahu blog buruk saya ini selalu ada pgunjung setia. Walaupun tanpa sepatah komen ditinggalkan, dan saya rasa lebih eloklah begitu. Kang komen ntah pape, susah juga saya. =D

Buat penulis emel dan pengunjung, saya bukanlah orang hebat seperti yang dikata. Orang bukak blog untuk menulis, saya pun bukak tapi sekadar untuk melampiaskan keghairahan untuk menulis. Memang saya suka menulis, membaca, merenung a.k.a bkhayal dan sebagainya. Macam kebanyakan orang yang lain, cuma orang lain menulis tentang ilmu, kisah orang lain, tentang barang, tentang pujaan mereka dan sebagainya.

Tapi saya menulis tentang diri saya, saya jarang menulis tentang artikel agama yang berbentuk fakta dan teori. Saya akui saya masih kurang ilmu di dada, namun bila saya menulis tentang diri saya dan tentang apa yang berlaku di sekeliling..di situlah saya merenung hikmah perjalanan kehidupan dan ibrah yang telah  Allah berikan untuk kita. Kerana kitalah ‘buku’ yang sedang bergerak, menjadi tempat rujukan dan mentafsirkan segala teori di atas pentas bernama kehidupan.

Dan saya tahu itulah fitrah kita sebenarnya, kita suka mendengar cerita perjalanan kehidupan berbanding mengadap satu artikel yang sarat dengan teori tetapi kurang pengolahan bahasa. Dari penulisan kita mampu mengenal dan memahami seseorang, jadi untuk belajar memahami maka menulislah. 

Terima kasih buat penulis emel, cerita dan gossip yang kalian dengar itu semuanya tidak ada asasnya dengan saya. Ada peminat pun tidak ada gunanya, kalau Allah tidak minat kita. Usah risau pandangan manusia, ia tidak pernah membawa mudarat atau menguntungkan kita baik di dunia mahupun akhirat. Cuma apa yang elok untuk diambil ibrah, buatlah bekal untuk perjalanan seterusnya. Mana yang buruk, tinggalkan buat sempadan.

Terima kasih di atas ucapan tahniah jika anda membaca reply post ini, maaf tidak di reply direct. Saya reply di sini. Semua boleh baca dan buat iktibar. Setiap di antara kita walaupun asasnya dilihat semakin menjauh meninggalkan tempat di mana kita pernah bermula. Kita sebenarnya sedang membuat satu pusingan perjalanan untuk kembali ke tempat pertama kita melangkah. =) 

Kita cuma hamba, harus berjalan menuju ke arahNya. Jadilah hamba yang terbaik, insya Allah kita akan jadi insan yang terbaik utk keluarga, masyarakat dan agama.

Thursday, October 13, 2011

Ones end, another just began.

Share



"To my dear students,
Let me remind you that the process of learning has not end, in fact it has intensified. As you completed your studies in the university, another phase of learning had just begun. You must continue searching for the teachers out there, the ones who will guide your heart and your mind. They could be the senior executives who dressed in suits, but they could also be the humble ...taxi drivers whose advice is loaded with wisdom.

In your hands and on your shoulders, we leave the huge responsibility of leading the society and the nation. You are not just any graduate. You are the graduate of International Islamic University. In whatever career that you choose, you are the role model of muslim youth." 

A bunch of love for all of lecturers who always keep us above the level, pushing us through the doors, and give us the master of the life key..Indeed, we are here just because of U all. 

Every times when i pray, i asked Allah to looks after them. And i hope that Allah will give me a strength, to continually ask for their forgiveness. Everyone of them which taught me even just a word, they are the reason why i`m here..facing the world of unknown.

Alfun syukran to our beloved teachers, lecturers, brothers and sister.  Jazakallahu khairan jazaa`.

Tuesday, October 11, 2011

Mengajar erti kehilangan

Share


Semalaman saya menghadamkan kitab Al Hikam, Karangan Ibn Atta`ilah seorang waliyyullah, membuahkan kelapangan di jiwa. Banyak petikan dan tulisan beliau yang terlalu dalam untuk direnungkan, golongan tasauf mengatakan buku ini buku di peringkat tinggi bagi sesiapa yang ingin berjalan menuju Tuhan. Benar.

Walau ia bukan buku cetakan sebenar, yang berwarna kuning yang pernah saya bertalaqqi dengan seorang guru. Namun Syarah Al Hikam ini amat membuatkan saya sangat teruja untuk membeleknya sampai ke muka akhir. Namun..setiap helaian di rasakan cukup bermakna, dan mengambil masa untuk direnung setiap halamannya. Sayangnya, saya cuma menemui jilid yang ke-2. Bermakna Jilid yang pertama bab yang sebelumnya sudah habis dijual.

Kitab Al Hikam ni menarik untuk dibaca, bagus untuk sesiapa yang mencari tujuan kehidupan dan sebab sebenar qasad penghambaan. Sewaktu saya bertalaqqi dengan mursyid dulu saya masih di tingkatan 3. Masih muda yang teramat, namun saya mendapati Hikam ini perlu diajar kepada setiap hamba yang mencari redha kerana inilah inti sebenar ilmu syariah dan feqah.

 Ilmu syariah hanya mengajar kita bagaimana cara untuk melakukan ibadah, manakala feqah mentakrifkan kaedah-kaedah yang sesuatu syariat dijalankan mengikut kesusaian masa dan keadaan. Pastinya, berdasarkan dalil dan nas yang qat`ei. Manakala tasauf mengajar erti sebenar kehambaan, apa yang diminta oleh Allah dari hambaNya. Kita boleh solat dan beramal, tapi sejauhmana hati kita sampai menghadap Allah. 

Dari kitab Al Hikam inilah yang mengubat setiap duka lara di sepanjang hidup saya, bila mana kita tahu dan sedar bahawa setiap yang berlaku adalah susunan takdir Allah untuk kita. Berhenti untuk sedih bila ditolak, digagalkan, dicemuh, dikritik, difitnah dan bermacam lagi. Dan berhenti untuk terlalu bergembira apabila dipuji, disayangi, diterima, dihadiahkan atau apa sahaja. Kerana bukankah semua itu dari Tuhan Yang Maha Esa.

Pernahkah terjadi dalam hidup kita bila Allah menemukan kita dengan seseorang, yang membuat kita mengaguminya di satu tempoh itu. Yang duduk sebentar bersama kita, tanpa kita kenali siapa gerangannya. Yang kemudian Allah memisahkan kita darinya sehingga kita hampir melupainya, lalu DIA hadirkan kembali seseorang itu. 

Mungkin waktu itu, kita belum bersedia secara nuraninya. Boleh jadi orang itu pada waktu itu, terlalu buruk untuk kita. Boleh jadi DIA ingin mengajar kita erti kehilangan supaya kita tahu nilai kehadirannya. Boleh jadi hadirnya waktu itu boleh melalaikan kita, lalu DIA pisahkan sementara agar mantap iman di dada.Boleh jadi kesedihan untukmu lebih bermakna di sisi Tuhan berbanding kegembiraanmu hanya melalaikan. 

Dan hari ini, cuba kau hitung satu persatu ketentuan Tuhan terhadap dirimu. Hisab setiap satu hikmah yang di sebalik kesedihan dan keperitan yang kau lalui, bukankah Allah telah memberi yang terbaik untukmu waktu ini. Akhirnya wujud dirimu hari ini, di dalam keadaan yang  kau sahaja mampu tafsirkan. =)

Allah menyusun perjalanan hidupmu dengan keadaan yang terbaik, menyediakanmu jalan yang terbentang, dan memberikanmu guru-guru cemerlang untuk kehidupan. Mereka adalah orang yang kau rasa salah dipertemukan, mereka adalah keadaan yang tidak patut menimpamu, mereka adalah perasaan yang menyakitkan. Kerana dunia adalah madrasah kehidupan insan.

Maka bergembiralah di saat kesedihan, dan beringatlah di saat kebahagiaan. Alangkah indahnya kalau kita mampu hidup dan bersama di kalangan mereka yang berfikir seperti ini. Masih mencari dan akanku terus mencari.

Ingatlah orang bijak adalah mereka yang sibuk bersiap untuk apa yang Allah tetapkan, manakala si bodoh sibuk merancang apa yang ditetapkan takdir Tuhan.

Monday, October 10, 2011

Sebuah perjalanan..

Share

Alhamdulillah..a`la kulli haalin wa nikmah..

9.10.11..inilah hari yang paling bertuah dan sangat bermakna bagi seorang graduan.

Setelah 4 tahun berhempas pulas dan bertungkus lumus, jatuh dan bangun tanpa henti. Akhirnya 5 minit di atas pentas menerima segulung Ijazah mentunaskan kepuasan bermakna. Alhamdulillah,nikmatnya perasaan itu.

Di sebalik 9.10.1, terlekat di dalam jammed selama hampir sejam untuk masuk ke gate UIA sangat mencemaskan. Apa tidaknya, saya perlu berada di dalam dewan sebelum pukul 2 petang. Dan pukul 1.45p.m saya masih terlekat di dalam jammed di hadapan tol.

Alhamdulillah, kehadiran sahabat untuk membantu dengan memberikan motornya sambil dia merelakan diri untuk memandu kereta saya. Dari kereta bertukar moto, selit menyelit di celahan kenderaan memang mencabar. Akhirnya…….pukul 2p.m tepat saya sampai ke dewan.

Alhamdulillah, itu sedikit pengalaman mencemaskan. Peluh di sebalik kemeja dan tuxedo berderai-derai, namun kepuasan dan keterujaan lebih terasa. Ucapan tahniah dan doa tanpa putus menyebabkan handset kehabisan bateri semasa di dalam dewan, sekali lagi menguji kesabaran apabila terpaksa mencari ahli keluarga dan kawan-kawan di celahan ribuan manusia.

Antara mesej yang paling bermakna saya terima adalah satu mesej paling ringkas, tetapi cukup padat dan bermakna. ‘Tahniah di atas penerimaan Ijazah. Selamat Berjihad’. Itu mesej yang saya terima dari bapa saudara saya, ringkas tetapi cukup bermesej. Insya Allah, jalan jihad saya baru sudah pun bermula.

Gambar-gambar masih belum ada di tangan saya..Insya Allah will be posted soon.
Apapun, terima kasih buat semua ahli keluarga, rakan2, junior2, dan semua yang hadir dengan bunga2, bear dan kek. Saya terima apa sahaja, sekalipun sekuntum senyum. Kerana nilai kehadiran lebih bermakna berbanding barangan yang diterima. =)

Sebuah perjalanan yang rasminya sedang bermula.

Tuesday, October 4, 2011

Hurt Inside..I Missed U

Share









 This time onwards, I really missed a 'U'.. 
I know someday somehow somewhere, U`ll read this.
U, the one that i never said U r My precious.
I hope one day, U`ll be here..
The day that u`ll know..I wrote this only for U.


Day which might be ours, or the day it`s wont.

Thursday, September 29, 2011

.

Share


Lewat malam semalam sy menerima msj dari seorang Hamba Allah,antara yang dekat dengan saya, yang telah sekian lama saya menyepi dari dunia mereka.Mesej itu dihantar lewat jam 11 malam..kerana saya sudah tertidur, mesej itu hanya dibaca sewaktu saya bangun sekitar jam 1 pagi lebih. Mesej itu sedikit sebanyak mengganggu emosi. Ada ucapan maaf yang tidak mampu diungkap.

Maafkan saya, sekiranya mesej-mesej anda yang dihantar dibiar tidak berbalas atau dibalas dengan perkataan singkat. Saya cuma membalas mesej-mesej penting dan menghantar yang penting sahaja. Sebab kenapa dan mengapa itu tidak harus dihuraikan di sini, bukan bermakna saya sombong. Dan cukuplah membenarkan gosip,bahawa saya sudah DIMILIKI. Yea, saya sudah dimiliki oleh Tuhan saya. Seluruh kehidupan saya adalah milikNya.

Banyak benda yang perlu saya persiapkan di jalanNya, banyak benda yang menagih pengorbanan hatta jiwa saya dan segala yang ada. Menyelesaikan pekerjaan di siang hari, dan melampiaskan cinta padaNya di kala malam tidak memberi saya banyak masa. Melatih kekuatan ruhani seiring jasmani adalah sangat sukar, dan membentuk jasmani sekental imani juga tanggungjawab berat.

Jika anda melihat perasaan, cinta, perkahwinan, pekerjaan adalah matlamat kehidupan. Saya dilihatkan sesuatu yang berbeza, ada tanggungjawab dan amanah yang memerlukan saya berlari pantas. Amanah yang tidak mampu diterjemah dengan mata terbuka, melainkan hati sedia memperlihatkan yang sebaliknya.

Faham bait di sini!

“..Betapa ramai yang menganggap pekerjaan dan jawatan adalah sesuatu yang perlu, lalu mereka mengisi larian kehidupan ke arah itu. Di atas qasad hati untuk mencari kebahagian dan kejayaan dunia, yang selamanya tidak akan mereka jumpai. Yang sememangnya mereka sudah sedari sejak dulu. Sebab itu sukar untuk menafikan bahawa mereka adalah hamba pekerjaan sepenuh masa, dan hamba Tuhan separuh masa (part time). Kerana mereka gagal menterjemahkan mereka adalah Muslim sepenuh masa yang memikul amanah agama dan melakukan kehendak pada dunia dengan seadanya.”

Jika anda membaca sepintas lalu, ia hanya ayat biasa. Baca berkali-kali dan tutuplah mata. Ini sebab mengapa saya semakin hilang dari dunia anda, dan mungkin akan terus hilang buat selamanya bila sudah tiba masa. Anggaplah jawapan ini sebahagian dari wasiat. Perjuangan menagih pengorbanan dan pengorbanan bererti meninggalkan dan memisahkan dari apa yang kita sayangi dan cintai yang menghalang perjalanan kita.

Katakanlah (wahai Muhammad):
“Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). –
Surah At-Taubah Ayat 24.

Dalam proses menanti Muhammad Bin Abdullah yang kedua, penantian tidak harus hanya sekadar menanti. Bersiaplah!  

Post yang tidak bertajuk ini, sengaja saya tinggalkan di sini. Sebagai jawapan di atas mesej semalam, yang menitikkan manik-manik air ke pipi saya sewaktu membacanya. Usah terlalu berprasangka, dan jangan terlalu cepat menghukum apa yang zahir pada mata dan didengar dek telinga.Teliti dan koreksi. Masih terlalu banyak rahsia untuk disingkap di sana.


Monday, September 26, 2011

Rindu: Inginku bertemu

Share

Bismillahirrahmani Rahim..sekadar mengemaskini post-post dan ceritera lama dengan aktiviti dan perkembangan masa kini.

Semalam buat pertama kalinya saya hadir ke kuliah maghrib ustaz Azhar Idrus yang sangat famous di kalangan orang muda dan remaja masa kini. Memang betul, Masjid As Salam Puchong Perdana semalam dibanjiri oleh ribuan jemaah sehingga melimpah ke padang dan tempat letak kereta sekitar. Siap dipasang skrin besar untuk jemaah yang terpaksa bersolat di luar. 
Kredit: Fan page FB Ust. Azhar Idrus (Original)

Alhamdulillah, saya dapat masuk ke ruang solat kerana saya sampai lebih awal memandangkan jarak rumah dan masjid tidaklah jauh. Saya melihat sendiri bagaimana sesetengah jemaah agak fanatic, yang menimbulkan sedikit perasaan tidak enak di dalam dada. Masya Allah,ustaz Azhar sememangnya tidak bersalah. Namun jemaah dan ajk masjid yang seakan overacting. Kesian Ustaz, dia juga hamba Tuhan biasa. Yang tidak maksum dari dosa.

Apapun, kuliah dan penyampaian ustaz Azhar sangat menarik dan tidak pernah membuat jemaah kering gusi. Ada sahaja telatah atau lawak yang menggelikan hati, dan perkataan yang diguna sangat direct. Memang begitu cara berdakwah sebenar, menggunakan bahasa pendengar, yang lebih cepat sampai ke hati.

Kuliah berakhir sekitar jam 9.30 mlm, dan diteruskan dengan solat Isya`. Kebetulan diimami oleh Imam kedua-Ust. Din (lupa nama sebenar). Bacaan beliau yang sangat merdu dan menusuk jiwa sering membuat butir-butir jernih air mata luruh ke pipi setiap kali saya bersolat di situ. Dan semalam beliau membaca Surah Al Hujraat, dari mula ayat sehingga ayat ke 8. Jiwa seakan bergetar-getar mendengar arahan Allah kepada orang-orang beriman agar merendahkan suara apabila bersama Rasululullah dalam berbicara.

Betapa Rasulullah s.a.w malu dan terlalu menyayangi para sahabatnya, betapa Baginda takut untuk melukan hati untuk menegur kerana kepentingan peribadi. Tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang bermain di dada Baginda s.a.w. Waktu mendengar seruan untuk orang-orang beriman, titik manik air terus gugur ke pipi satu persatu. Hati kecilku ini Ya Allah, kembali merindui untuk bertemu dengan KekasihMu sekali lagi.

Kerinduan yang tidak pernah habis dan tidak akan pernah surut, biar berjuta kali pun bertemu. Kenangan pertemuan indah tempoh hari masih kemas kuingati, dan hikmah suapan kurma dari mulut sucinya walau dalam mimpi sudah mula kuhadamkan. Masa yang mengubah diriku atau akukah yang sedang berubah?

Jalan dakwah yang memanggil, sudah mula kusahuti satu persatu. Untuk terus berubah itu tidak akan berlaku, kerana tarbiyah memerlukan iltizam dan mujahadah yang tinggi. Usah terlalu laju berlari, kelak sungkur sakit tak terperi. Ini hanya permulaan. 

Hidup ini hanya menyahut SATU cinta. Cinta yang tidak ada dua dan akhirnya.

Tuesday, September 20, 2011

Al Asr: Di subuh yang aneh

Share


Bismillahirahmani Rahim..jika masih ingat post saya minggu lepas, tentang surah Al Insyirah yang saya dengar yang dibacakan di telinga sedangkan saya pasang surah lain sebelum tidur.

Tetapi pagi ni lebih aneh dan menghairankan,ketika saya bangun sebelum subuh tadi, saya duduk membelek dan melihat computer yang terpasang sejak semalam. Memperlahankan alunan Surah Maidah yang saya perdengarkan sejak semalam, bimbang mengganggu kawan serumah yang masih tidur. 

Kemudian saya ke bilik air, mengambil wuduk seketika. Kemudian saya kembali ke bilik, hujan renyai membawa angin yang sangat sejuk menikam tulang. Kemudian saya solat tahajud, masa di tahiyat akhir barulah saya perasan rupanya suara bacaan yang mendayu dari speaker computer bukan lagi Surah Al Maidah. Ia surah pendek. Al Asr. 

Kerana surahnya pendek, bacaannya berulang-ulang selama tempoh saya di atas sejadah. Barulah saya sedar bahawa surah bacaan sudah berubah sedangkan tiada siapa di sekeliling saya. Kawan serumah masih lena dibuai mimpi. Saya bangun dan memeriksa computer, melihat bacaan menggunakan Winamp. Hanya Surah Al-Asr sahaja sedang dimainkan. Saya duduk dan termenung. Menghayati makna Asr yang sedang dibacakan.

Lepas subuh saya duduk membaca Al Waqiah, sungguh setiap ayat membawa makna yang sangat perlu untuk direnungkan. Lewat pagi, saya bercerita tentang kisah yang saya alami tadi. Mereka semua hairan, hamba Allah manakah yang mengubahnya.

Bagaimana sepanjang malam Surah Maidah boleh dimainkan berulang kali sepanjang saya tidur dan masih dimainkan sewaktu saya bangun. Tetapi berubah ketika saya mengambil wuduk. Mengapa Al Asr? Dan siapa yang mengubah surah tersebut?

Dan saya ketika saya merenung kembali makna-makna Surah Al Asr, terasa satu persatu ayat tersebut menusuk ke hati saya. Seolah-olah ia ditujukan kepada saya, betapa ruginya kehidupan mereka yang mensia-siakan masa yang ada. Masya Allah.
 
Difikirkan kembali, terasa ada pertalian di antara Insyirah dan Al asr padi tadi. Dua surah membawa erti kehidupan yang sama, dua-dua memperingatkan ke arah satu tujuan dan arah.  Dan ia hadir untuk membuat saya terus merenung dan bermuhasabah. Siiru a`la barakatillah.