Lewat malam semalam sy menerima msj dari seorang Hamba Allah,antara yang dekat dengan saya, yang telah sekian lama saya menyepi dari dunia mereka.Mesej itu dihantar lewat jam 11 malam..kerana saya sudah tertidur, mesej itu hanya dibaca sewaktu saya bangun sekitar jam 1 pagi lebih. Mesej itu sedikit sebanyak mengganggu emosi. Ada ucapan maaf yang tidak mampu diungkap.
Maafkan saya, sekiranya mesej-mesej anda yang dihantar dibiar tidak berbalas atau dibalas dengan perkataan singkat. Saya cuma membalas mesej-mesej penting dan menghantar yang penting sahaja. Sebab kenapa dan mengapa itu tidak harus dihuraikan di sini, bukan bermakna saya sombong. Dan cukuplah membenarkan gosip,bahawa saya sudah DIMILIKI. Yea, saya sudah dimiliki oleh Tuhan saya. Seluruh kehidupan saya adalah milikNya.
Banyak benda yang perlu saya persiapkan di jalanNya, banyak benda yang menagih pengorbanan hatta jiwa saya dan segala yang ada. Menyelesaikan pekerjaan di siang hari, dan melampiaskan cinta padaNya di kala malam tidak memberi saya banyak masa. Melatih kekuatan ruhani seiring jasmani adalah sangat sukar, dan membentuk jasmani sekental imani juga tanggungjawab berat.
Jika anda melihat perasaan, cinta, perkahwinan, pekerjaan adalah matlamat kehidupan. Saya dilihatkan sesuatu yang berbeza, ada tanggungjawab dan amanah yang memerlukan saya berlari pantas. Amanah yang tidak mampu diterjemah dengan mata terbuka, melainkan hati sedia memperlihatkan yang sebaliknya.
Faham bait di sini!
“..Betapa ramai yang menganggap pekerjaan dan jawatan adalah sesuatu yang perlu, lalu mereka mengisi larian kehidupan ke arah itu. Di atas qasad hati untuk mencari kebahagian dan kejayaan dunia, yang selamanya tidak akan mereka jumpai. Yang sememangnya mereka sudah sedari sejak dulu. Sebab itu sukar untuk menafikan bahawa mereka adalah hamba pekerjaan sepenuh masa, dan hamba Tuhan separuh masa (part time). Kerana mereka gagal menterjemahkan mereka adalah Muslim sepenuh masa yang memikul amanah agama dan melakukan kehendak pada dunia dengan seadanya.”
Jika anda membaca sepintas lalu, ia hanya ayat biasa. Baca berkali-kali dan tutuplah mata. Ini sebab mengapa saya semakin hilang dari dunia anda, dan mungkin akan terus hilang buat selamanya bila sudah tiba masa. Anggaplah jawapan ini sebahagian dari wasiat. Perjuangan menagih pengorbanan dan pengorbanan bererti meninggalkan dan memisahkan dari apa yang kita sayangi dan cintai yang menghalang perjalanan kita.
Katakanlah (wahai Muhammad):
“Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). –
Surah At-Taubah Ayat 24.
Dalam proses menanti Muhammad Bin Abdullah yang kedua, penantian tidak harus hanya sekadar menanti. Bersiaplah!
Post yang tidak bertajuk ini, sengaja saya tinggalkan di sini. Sebagai jawapan di atas mesej semalam, yang menitikkan manik-manik air ke pipi saya sewaktu membacanya. Usah terlalu berprasangka, dan jangan terlalu cepat menghukum apa yang zahir pada mata dan didengar dek telinga.Teliti dan koreksi. Masih terlalu banyak rahsia untuk disingkap di sana.