Seindah KalamNya

Sunday, January 29, 2012

::Catatan Khas::

Share


Bismillahirrahmani Rahim..salam buat semua, teman2 pembaca yang budiman. Meski pun sangat jarang saya menulis dan mengupdate blog untuk tempoh ini, namun jumlah kunjungan dan activities kadang membuat saya rasa bersalah. Bila kunjungan pada blog yang pemiliknya sangat kurang kecekalan untuk menulis.

Minggu lepas saya dapat surat cinta, surat kedua selepas tawaran dari Uni di Australia yang telah saya tolak. Kini datang tawaran kedua, yang membuat saya berfikir panjang untuk membuat langkahan yang seterusnya. Paling terkejut, semuanya berlaku terlalu cepat. Hanya 10 hari, dr proses permohonan sehinggalah jawapan yang diberikan. Bagi saya, itulah hadiah dari doa-doa semalam saat dahi mencecah ke sejadah. Subhanallah.

Mendapatkan sekeping lagi ijazah sarjana bukan tujuan asal saya, tapi ‘membeli’ sekali lagi masa dan ruang untuk mendapatkan sebutir mutiara hidup yang kian hilang. 30 juzu` dalam dada, entah berapa banyak yang sudah ketirisan ingatan dan berapa lagi yang sudah tinggal setelah kesibukan menjadi alasan. Sudah saya sempurnakan sebahagian kehidupan menjadi manusia, mendapat anugerah masyarakat sebagai ‘Hafiz Professional’. Gelaran itu yang diburui ramai manusia, namun berapa ramai sahaja yang benar-benar berjaya.

Jauh di dalam hati saya, kepiluan dan kesedihan menghiris. Segulung ijazah professional yang saya genggam tidak membawa makna, jika mutiara yang pernah cahayanya bersinar menerusi diri kian hilang. Berat tanggungjawab dan bebanan itu..lalu sekali lagi, hati memohon pada Rabb Izzati.
Buat apa berjaya, buat apa menjadi orang hebat-hebat..jauh di dalam diri, segalanya kosong. Sepi. Hening.

Al quran yang terkandung di dalam bilah rongga dada, tiada apa yang dapat menandinginya. Ketenangan. Keindahan. Kebahagiaan. Sekalipun keletihan dan kepenatan, tiada jemu membacanya berulang-ulang. Maka majulah sekali lagi langkah, untuk mengenggam sekeping lagi sarjana ke tahap yang lebih tinggi. Memaknakan kembali inti sebenar menjadi sebahagian Huffaz Professional yang benar-benar beramal dengan Al quran.

Maka makbul lah juga doa seorang ibu, untuk melihat anaknya berjaya dunia dan akhirat. Sebenarnya tidak sukar menjadi baik, tetapi sangat sukar untuk menjadi sebaliknya. Untuk membina keluarga dan ummah yang cemerlang duniawi ukhrawi, segalanya bermula pada diri kita hari ini. Doakan kejayaan saya di sepanjang perjalanan, dan terima kasih di atas nasihat dan tunjuk ajar yang tidak pernah surut yang menjadi kompas kehidupan.

Alhamdulillah, di sekeliling kita terlalu banyak nikmat yang tak terucap. Bersyukurlah dan hargailah.
Wsalam

0 comments: