Seindah KalamNya

Tuesday, May 24, 2011

Iltizam Dalam Mujahadah

Share

Bismillahirahmani Rahim..terkejut sbenarnya melihat statistic. Ramai juga peminat bidadari dunia rupanya, tajuk je semacam gempak tp isi kosong kan..apapun moga Allah permudahkan. Ujian dan dugaan datang dalam pelbagai bentuk, kadang kala kita rasa sudah kuat namun kita kalah jua. Pada Allah segala pergantungan selayaknya.. =)

Sedang mentarbiah diri sendiri agar lebih beriltizam dalam mujahadah, doakan saya kuat dan mampu melaluinya. Ujian cinta paling payah, paling sukar untuk dielak. Bukan tidak ingin dicintai, namun biarlah syariat mengikat kita sebelum melabuhkan tirai cinta.

 Di kala orang sibuk menilik diri sendiri di cermin, saya cuba menilik hati sendiri.. banyaknya kekurangan, tidak terhitung kelemahan yang ada. Harus terus berusaha meningkatkan iman dan takwa, di samping menjalankan tanggungjawab di dunia yang terlalu sementara. Senang untuk bercakap ‘mari kita tingkatkan iman dan takwa’ tetapi berapa kali kita pernah amalkan dalam kehidupan.

Kerana kesusahan itulah Allah melihat ketakwaan kita, bukannya pakaian mahupun rupa paras kita. Biar orang melihat kita biasa, biarkan mereka melihat kita tiada beza zahirnya. Kerana itu sudah pasti, kita sememangnya manusia biasa dan harus menjalankan kehidupan sebagai manusia biasa. Hanya yang membezakan kita, berapa banyak umur yang kita perjuangkan untuk agama, yang kita habiskan dalam zikir-zikir dan juga berapa banyak masa kita pertaruhkan untuk sujud pada Yang Satu.

Cukuplah kita pesan pada diri sendiri, dunia yang tak kekal lama ini pasti ada hujungnya. Usahlah terlalu sibuk menimbun harta yang kelak kita akan tinggal sebagai pusaka, alangkah ruginya kita menghabiskan usia pada sesuatu yang bakal kita tinggalkan. Sedang itu memang jelas tiada manfaatnya.

Pesan juga pada diri sendiri, usahlah menagih pujian duniawi. Dan jangan sedih pada fitnah insani, dunia ini sememangnya tempat untuk kita diuji. Bersabarlah dalam zikrullah, kuatkan hatimu dan utuhkan jiwa. Jika terasa juga sendunya, maka mengadulah pada Yang Maha Esa. Bertasbihlah dan bertahmidlah, sesungguhnya DIA Maha Mendengar rintihan hambaNya.

Doakan saya untuk istiqamah dalam tahajud, misi istiqamah dhuha saya sudah nampak hasilnya..tahajud adalah kekuatan paling besar untuk kita manusia, di saat orang lain sedang lena harus kita bangun menyembah Yang Maha Esa. Hidup seorang hamba, itulah tanda kepatuhan pada Tuannya. Kadang-kadang saya cemburu dengan bonda saya, bagaimana beliau boleh memulakan tahajud sejak beliau mencecah usia 25 tahun lagi. 

Dunia kerjaya saya sebagai perancang Bandar juga sudah jelas laluannya, project sentiasa masuk tidak putus-putus. Untuk permulaan yang baru ini, Alhamdulillah laluannya dipermudahkan. Lagipun saya tidak risau tentang aliran rezeki, kerana ia sudah diputuskan olehNya. Jangan kita tertipu dengan bayangan kemewahan, ia hanya fatamorgana dunia. Kalau kita berlari mengejarnya, pasti yang akan kita dapat adalah bayangan asap zulumat hati sendiri.

Sifir asas dalam hidup adalah perubahan, ubahlah diri sendiri. Masih banyak masa untuk pulang ke laluan asal untuk menjadi hamba Tuhan yang sebenar, apa sahaja yang telah berlaku atau sedang berlaku. Usahlah disalahkan sesiapa, kerana ia sebenarnya bermula dari kita sendiri. Dan tidak guna kita hebat di mata manusia, tetapi tiada nilai di sisi Yang Maha Esa.

0 comments: