Seindah KalamNya

Tuesday, September 20, 2011

Al Asr: Di subuh yang aneh

Share


Bismillahirahmani Rahim..jika masih ingat post saya minggu lepas, tentang surah Al Insyirah yang saya dengar yang dibacakan di telinga sedangkan saya pasang surah lain sebelum tidur.

Tetapi pagi ni lebih aneh dan menghairankan,ketika saya bangun sebelum subuh tadi, saya duduk membelek dan melihat computer yang terpasang sejak semalam. Memperlahankan alunan Surah Maidah yang saya perdengarkan sejak semalam, bimbang mengganggu kawan serumah yang masih tidur. 

Kemudian saya ke bilik air, mengambil wuduk seketika. Kemudian saya kembali ke bilik, hujan renyai membawa angin yang sangat sejuk menikam tulang. Kemudian saya solat tahajud, masa di tahiyat akhir barulah saya perasan rupanya suara bacaan yang mendayu dari speaker computer bukan lagi Surah Al Maidah. Ia surah pendek. Al Asr. 

Kerana surahnya pendek, bacaannya berulang-ulang selama tempoh saya di atas sejadah. Barulah saya sedar bahawa surah bacaan sudah berubah sedangkan tiada siapa di sekeliling saya. Kawan serumah masih lena dibuai mimpi. Saya bangun dan memeriksa computer, melihat bacaan menggunakan Winamp. Hanya Surah Al-Asr sahaja sedang dimainkan. Saya duduk dan termenung. Menghayati makna Asr yang sedang dibacakan.

Lepas subuh saya duduk membaca Al Waqiah, sungguh setiap ayat membawa makna yang sangat perlu untuk direnungkan. Lewat pagi, saya bercerita tentang kisah yang saya alami tadi. Mereka semua hairan, hamba Allah manakah yang mengubahnya.

Bagaimana sepanjang malam Surah Maidah boleh dimainkan berulang kali sepanjang saya tidur dan masih dimainkan sewaktu saya bangun. Tetapi berubah ketika saya mengambil wuduk. Mengapa Al Asr? Dan siapa yang mengubah surah tersebut?

Dan saya ketika saya merenung kembali makna-makna Surah Al Asr, terasa satu persatu ayat tersebut menusuk ke hati saya. Seolah-olah ia ditujukan kepada saya, betapa ruginya kehidupan mereka yang mensia-siakan masa yang ada. Masya Allah.
 
Difikirkan kembali, terasa ada pertalian di antara Insyirah dan Al asr padi tadi. Dua surah membawa erti kehidupan yang sama, dua-dua memperingatkan ke arah satu tujuan dan arah.  Dan ia hadir untuk membuat saya terus merenung dan bermuhasabah. Siiru a`la barakatillah.

0 comments: