Seindah KalamNya

Monday, September 19, 2011

Kopiah: Saya juga professional.

Share


Bismillahi Allahu akbar..Menyambung lagi post untuk seterusnya, semalam saya balik dari kuantan dengan menaiki bas. Setelah sekian lama tidak menaiki bas, rupanya seronok juga ada pemandu kalau jalan jauh ni. Sepanjang perjalanan tersebut, banyak benda yang buat saya termenung panjang. 

Menungan dalam muhasabah dan tafakkur sebenarnya terjadi di sepanjang perjalanan, salah satu yang paling besar adalah satu nasihat yang diberikan oleh seorang waliyullah yang pernah saya temui dalam hidup saya. Pertama kali saya bertemu dengan beliau, mendengar nasihat dari suara beliau sendiri cukup membuat saya untuk meneliti setiap patah maksud kata-katanya.

Satu pesanan yang paling sukar untuk saya hadamkan di benak fikir dek dangkal dan ceteknya dalam melihat hikmah dan juga kebaikan di sebaliknya. Antara perkataan yang beliau lafazkan:

 “ Wan, kalau boleh pakai la selalu pakaian berwarna putih, dan berkopiah di kepala. Ia pakaian orang baik-baik lagi alim. Waktu makan haruslah diam, jangan dicampuri dengan perkataan dan perbualan yang tidak perlu. Kalau berjalan, maka fikirkanlah pada bukit bukau dan air laut yang terbentang. Ia dicipta bukan dengan sengaja.” Itulah seberapa butir patah ayatnya yang saya anggap biasa, sehinggalah saya menelusuri perjalanan jauh. Pemerhatian saya di sepanjang perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur membuat mata hati sedikit terbuka.

Satu sahaja yang baru saya hadamkan setelah hampir sebulan pesanan itu disampaikan, iaitu pakailah pakaian berwarna putih dan kopiah di kepala. Mulanya saya rasa biasa, tetapi meneliti kembali diri saya sendiri saya sebenarnya sudah jarang memakai kopiah kecuali di waktu solat ataupun majlis. Kenapa kopiah dan ada apa pada kopiah?

Pesanan tersebut ayatnya simple dan bersahaja, tetapi cukup dalam apabila ia diucap oleh manusia yang memandang dengan cahaya Ilahi yang melihat berdasarkan kebutuhan kita terhadap yang Maha Pencipta. Ia menelan masa yang agak lama untuk saya cernakan kembali maksud di sebalik yang tersurat. Mengapa dan kenapa? Dua soalan yang sentiasa membuat minda kecil saya terus ligat berfikir.

Sejak meninggalkan dunia usrah dan tarbiyyah, saya memasuki gelanggang professional. Tempat di mana setiap orang berbangga dengan kedudukan dan jawatan, setiap yang merasa bahagia dengan kedudukan dan nama sebenarnya antara mereka yang terleka. Termasuklah saya.

Ilmu, Alhamdulillah sebahagiannya saya sudah ada. Lengkap atau tidak, itu perkara kedua. Dan semestinya sampai hujung nyawa ia tidak akan cukup dan puas untuk ditimba. Asasnya sudah ada di dalam dada, Alhamdulillah. Tarbiyyah berterusan juga sentiasa ada, setiap hari saya ditarbiyyah oleh hamba Allah, yang sukar untuk saya tunjukkan kehadirannya. Yang tidak mampu dipandang dek mata, namun dia hadir dan datang ketika saya leka. Kehadirannya membuat saya tersedar dari kelekaan, lantas kembali menyambung tasbih, tahmid dan takbir pada Ilahi.

Yang saya kurang dan hampir kalah adalah mujahadah berpanjangan, yang saya ingat bila berada dalam bidang professioanal saya perlu menari mengikut rentak mereka. Kemudian naluri kecil ini mula melontar persoalanannya, di mana peranan saya dalam dakwah? Cukupkah solat dan ibadah rutin, bila mana saya di ruang pejabat dan di atas sejadah adalah dua individu berbeza?

Meneliti kembali pesanan seorang ulama besar itu, mengapa di suruh letakkan kembali kopiah di kepala. Rupanya itulah sebahagian pagar mujahadah untuk diri saya, satu lagi pembenteng untuk saya menjadi siapa saya yang sebenarnya. Menjadi satu individu dalam kehidupan, dan itulah satu benda paling biasa tetapi berperanan besar di dalam hidup saya. Pakaian tidak pernah menyerlahkan apa yang sebenarnya di hati kita, tetapi hati kita perlu menyerlahkan apa yang sebenarnya terkandung di dalamnya.

Kopiah yang pernah saya bukakkan buat sekian lama, di sepanjang kehidupan menjadi mahasiswa di satu ketika lalu adalah untuk menjauhkan fitnah yang bermula dari seorang lecturer kuliah. Yang sentiasa melabelkan saya sebagai pembawa ‘dakyah’ politik pembangkang katanya, yang pernah beberapa kali memalukan saya di hadapan pensyarah-pensyarah lain. Apapun peristiwa dan rentetan dari apa yang berlaku mengajar saya erti sebenar hidup, di saat ujian dan fitnah datang bertimpa tanpa henti.

Jika dilihat dari sudut negatif, rasa seperti sebahagian dari semangat untuk teruskan kehidupan dai`e seolah sudah pun hilang. Namun saya memandang di sudut hikmah, ujian dan dugaan yang bertimpa inilah yang makin mengangkat saya dari hari ke hari. Merenungi kembali pertemuan dengan Rasulullah sewaktu mimpi tempoh hari, itulah butiran hikmah yang berbuah dari kesabaran ujian.Dan kehidupan saya dari hari ke hari semakin baik. Meskipun kadang kala saya ada juga nakalnya, seperti iman juga ada waktu turun dan naik.

Menyarung kembali mahkota dai`e sebenarnya lebih manis.
Azam untuk kembali menyarungkan mahkota dai`e, sudah tiba untuk saya kembali ke dunia saya. Jalan dakwah ada banyak cara, dan insya Allah akan saya berjuang di dalam lapangan saya di mana perancangan Bandar dan wilayah adalah tangunggjawab dan amanah yang perlu saya lunaskan. Semoga Allah kukuhkan hati seandainya ada kepentingan duniawi yang perlu saya korbankan. Seperti masa-masa lalu.

0 comments: