Bismillahirrahmani Rahim..akibat buntu untuk memulakan thesis writing, lalu saya memulakan penulisan blog seminit dua. Baru perasan, belum ada post tentang study untuk sem ni. [senyum manis-manis].
Sebelum tu, buat seorang sahabat yang bakal [atau mungkin telah pergi] ke tanah suci untuk mengerjakan haji untuk kali ini, selamat jalan dan selamat beribadah. Alangkah indahnya dan nikmatnya berpeluang ke sana. Bersyukurlah, masih ramai yang menanti peluang itu. [termasuklah hamba ini]. Selamat Jalan sahabatku. ;)
Cerita sem ini [sem terakhir], campur tolak darab dan bahagi rupanya sudah hampir sebulan. Tetapi sem ini terlalu pendek, bulan 12 sudah memasuki final exam. Dan perlu menghantar thesis lengkap, sebelum berviva sekali lagi pada awal Januari. Fuhh, tarik nafas! [Bertenang].
Dalam kecepatan masa, saya perlu lebih pantas dan laju. Masa terlalu singkat untuk menyudahkan baki 2 chapter lagi thesis yang perlu disudahkan. [Hakikatnya.] Kadang kadang saya tertekan. [Masya Allah]. Larian adrenaline kadang2 tidak stabil, namun cuba juga untuk bangkit dan kuat. Tatihan satu demi satu terus diatur, walau lemah dan tidak bermaya. Demi Al Quran. [ Iya, demi al Quran].
Larian terakhir [moga yang terakhir] untuk ijazah Sarjana ini perlu disudahkan dengan cemerlang untuk sem ini[sekali lagi]. Kerana awal tahun hadapan saya berkira-kira untuk menyambung lagi ke peringkat Doctorate [PhD]. Sekali lagi, ia untuk Al Quran. Demi mengangkat martabat dan mengharumkan nama Huffaz Professional, segala kepayahan dan keperitan disahut jua . Bercadang untuk ke oversea selepas ini [insya Allah] sekiranya ada tajaan dan biasiswa [pinjaman pun tidak mengapa]. Jika tidak, saya akan menyambung phd di UTM ini juga. [Muktamad]
Dan saya sudah merisik khabar beberapa buah university di Ireland,Sydney, South Australia, Leeds dan UK. Peluang mungkin agak cerah [insya Allah] cuma yang menjadi sedikit halangan adalah financial supports. Alangkah indahnya saya dilahirkan kaya, mudah kerja. Hakikatnya Allah meletakkan saya di sebuah keluarga yang sudah kaya [kasih sayang].
Kenapa saya perlu sudahkan larian ini sehingga ke phD? Mengapa perlu cepat? Mengapa tidak ingin menunggu setahun dua lagi.
Ketika ingin menjawab soalan ini, terasa saya kerdil dan naïf. Terasa saya tidak sehebat dan sebaik orang lain, terasa saya sangat munafik dalam perjuangan. Lalu saya bangkit, satu persatu risiko saya tiliki. Akhirnya, TEKAD.
Larian ini harus disudahkan,secepat dan semaksimum mungkin. Kerana di waktu ini, hanya ada satu. Di tanah air. Mempunyai peluang seperti ini. Jika peluang yang Allah berikan ini, tidak saya sahut dan saya pegang erat. Entah bila lagi, martabat seorang huffaz Al Quran berpeluang untuk dijulang sepenuhnya.
Hanya 3 sebab mengapa Huffaz Professional perlu dijulangkan:
Pertama: Title itu sendiri. Berapa ramai yang Huffaz dan professional. Ramainya ke bidang agama, menolak mindset bahawa ‘Walking Al Quran’ hanya untuk bidang agama [semata] adalah kewajipan. Dunia luar sudah lama membuktikan, tetapi tidak masyarakat melayu dan Malaya. Ramai yang professional, tetapi mereka bukan Hafiz. Ramai juga yang Hafiz, tetapi mereka tidak di bidang professional. Buktikan pada dunia, Al Quran itulah adalah nafas kehidupan. Buktikan melalui teladan.
Kedua: Masa. Masa adalah tanggungjawab berat, tidak kira kita professional semata, Huffaz sahaja atau keduanya. Berapa ramai yang mampu memulakan PhD sebelum berumur 25 tahun [suku abad pertama]. Nyatakan satu nama yang berada di tanah air ini [sekalipun hanya untuk Professional pun agak sukar]. Apatah lagi, jika Huffaz professional yang memulakan Phdnya sewaktu orang lain sibuk bersarung cincin dan bersanding di pelamin nan indah.
Berapa ramai di antara kita yang berada di bidang engineering, architecture, medic, accounting,laws etc yang sanggup mengorbankan kemanisan awal mudanya untuk sesuatu yang tidak penting. Dan berapa ramai yang sudi terus menadah ilmu dan mengkaji di kala gaji dan duit yang mereka nikmati sudah mula terasa panas di genggaman. Siapa yang sanggup meninggalkan alam pekerjaan yang sudah pun menawarkan peluang lumayan, lalu menempuh dunia ilmuan yang serba kekurangan.
Demi Allah dan Rasul, siapa yang sanggup mengorbankan kepentingan dirinya hanya untuk memberi laluan kepada kepentingan agama. Siapa yang sanggup bersendirian berendam air mata kepayahan,menghabiskan harinya dengan buku dan kajian, melangkah dalam keperitan tetapi masih bangun melontar senyuman. Siapa yang [di waktu ini] masih terfikir apa lagi yang mampu kuberikan untuk ummat, apa lagi yang tinggal untuk kusudahkan. [Bacalah dengan nama Tuhan].
Ketiga: Mengapa bukan kita. Pernah kita tanyakan pada diri sendiri, berapa lama lagi kita harus bersikap menanti. Berbangga dengan kejayaan orang lain. Berapa lama lagi kita mengambil sikap menunggu dan berharap. [Moga-moga.] Berapa lama lagi?!
“Jika ada seribu yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Jika ada seratus yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Jika ada sepuluh yang berjuang, katakanlah seorang dari mereka adalah aku. Dan jika hanya ada seorang yang berjuang, katakanlah itu adalah aku.”
Sebelum ini tidak pernah dalam lintasan hati saya, bahawa saya akan terlibat sebagai sebahagian ahli professional akademik. Tidak pernah terfikir dalam hidup saya yang saya akan menyudahkan master dalam tempoh kurang setahun.Ya Allah, tidak pernah terlintas semua itu. Laluan ini terlalu cepat dan pantas. 16 Jun 2011 mengubah landskap kehidupan asalnya, mungkin ini hikmah mimpi menerima suapan kurma dari kunyahan mulut suci Baginda s.a.w. di kala hati sarat kerinduan. [Rindu]
Huffaz Professional adalah milik semua yang menghafaz AlQuran, yang berada di lapangan professional samada mereka belajar, graduan ataupun bekerja. Saya cuma ingin membawanya dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai benchmark bahawa kehebatan orang yang menanggung Al Quran sudah dibuktikan dan akan terus dibuktikan. Moga-moga akan menjadi inspirasi buat adik-adik yang di belakang sana yang sedang mengorak langkah, bahawa tiada yang mustahil dalam menjadikan Al Quran kompas kehidupan.
Kemudian kita perlu bergerak sebagai the Walking Al Quran yang diimpikan,berbahasa dengan bahasa Al Quran di dalam segenap ruang professional. Kita daulatkan kembali perjuangan Baginda Muhammad Bin Abdullah s.a.w, dan pasakkan kemas dalam hati "Sekiranya aku mati, setidaknya ada ilmu yang akan kuwariskan". Usah berbicara tentang orang lain, bicara dulu tentang diri sendiri.
Di kala orang meragui perjuangan kita,di kala orang mempersoalkan keikhlasan kita. Biarkan mereka terus bersangka-sangka, sampai masa mereka akan sedar kita bukan sekadar bercita-cita biasa. Dan kita, akan terus sabar dan memaafkan. Makin berilmu, makin harus banyak diam. Dan makin perlu kenal pada Tuhan. Obor perjuangan ummah tidak akan pudar, sekalipun laluan itu sunyi dan sepi dari pujian dan penghargaan.Lillahi Taala.
Insya Allah,lillahi Taala.
Dan ketika ini yang dipinta hanya satu, perjalanan ini masih lagi jauh untuk disudahkan. Namun perit jerihnya pasti akan tetap perlu ditempuhi, lalu di waktu ini [kumohon] tadahkan doamu seketika. Doakan diriku agar tabah untuk terus melangkah, doakan agar pengorbanan ini hujungnya nanti ada nilaian. Doakan sekali untukku kejayaan buat agama, kejayaan untuk menghidupkan generasi al Quran dari segenap segi dan lapisan kehidupan. Dan doaku untukmu saudara/i seimanku, sememangnya sentiasa ada sekalipun kau tidak merasainya. [Insya Allah]
Di hujung waktu nanti kita hanya mahu menukilkan sesuatu, panduan buat anak bangsa. Menulis di ceruk usia, menghidang jamahan minda hasil hadaman Al Quran. Tiada yang lebih manis selain melihat benih-benih semaian menjadi pohon merimbun. Di kala buahnya sudah ranum untuk disatapi, waktu itu kita mungkin sudah tiada. Tetapi, percayalah. Tiada apa yang kita usahakan, melainkan sesuatu untuk kita tinggalkan. Nikmat memberi, hanya ada pada yang kenal erti hidup.
Ada lagi susur perjuangan yang hamba ini ingin sahuti, namun biar masa memberi ruang. Satu persatu. Tanpa prejudis tanpa ragu. Semoga susurnya menjadi teladan. Jadilah seperti air yang mengalir, membawa kehidupan di setiap daerah yang di lalui. Jangan jadi air di kali yang mati, kaku dan lesu. Akhirnya busuk dan meloyakan. Wsalam.
[Ketika terasa kelemahan dan kesedihan,kutahu itulah deringan panggilan dariNya. Untuk membawa aku berbicara denganNya. Lalu sujud dalam naïf kepadaNya, bersama rintihan dan deraian airmata. Bicara tentang dunia yang menyukarkan langkahan dan tentang aku yang serba kekurangan, kemudian aku bangun. Puas. Allah Allah, nikmat.]
0 comments:
Post a Comment