Bismillahirrahmani Rahim.
Lamanya tidak mengemaskini sebarang post di sini, sejak dari
Mac sehingga merapati Ogos yang sudah mula menjengah. Pagi ini adalah malam
ke-25 Ramadhan, seusai iktikaf, solat dan tadarus Alhamdulillah ditiup angin
kerinduan untuk menziarahi blog kuning emas ini. Istimewa.
Sejak dari awal terawih mala mini, sehingga la ketengah
malam dan pagi ini [masih belum sahur] terasa sangat sedih. Sedih bukan kerana
kesusahan dan kesempitan, tetapi sedih kerana betapa banyaknya nikmat yang
tidak disyukuri.
Rasa hebat dan agung dengan kehebatan Allah Yang Maha Esa,
rasa betapa benar DIA tidak pernah menolak doa-doa kita walau hakikatnya belum
tertunai waktu ini. Namun kejayaan dan apa yang kita miliki hari ini adalah
hakikat sebenar doa-doa yang pernah kita pinta semalam. Allah. [Agungnya
Tuhanku].
Dan terawih tadi, berehat dari mengimami solat kerana
diganti oleh pengkuliah jemputan utk malam tadi setelah hampir sebulan menjadi
imam terawih tetap. Kesempatan mendengar imam membaca ayat membuat butir air
mata menitis. Allah, terlalu banyak kenikmatan yang terlupa dan terlalai untuk
disyukuri.
Serasa hari ini, tidak ingin berdoa untuk meminta sebarang
hajat. Melainkan di tadah tangan mengucap syukur dan tahmid berkali-kali, rasa
ingin waktu ini untuk berterima kasih di atas kenikmatan yang terlalu banyak
ini. Allah [Ampuni aku yang sering lupa berterima kasih].
Alhamdulillah Ya Allah, untuk setiap nafas kesihatan dan
kudrat yang masih diberi untuk bersujud dan menyembahMu.
Alhamdulillah Ya Allah, untuk saat ini yang memberi ruang
untuk aku kembali ke daerah sedar kehambaan di saat lain yang aku sering lalai
dan terleka.
Alhamdulillah Ya Allah, untuk setiap kejayaan dan kenikmatan
yang dianugerahkan. Terlalu banyak untukku berterima kasih, tiada hitungan
untuk membalas kasih dan sayangMu.
Alhamdulillah Ya Allah, untuk saat ini yang menyedarkan aku
bahawa apa sahaja yang aku miliki sebenarnya adalah pinjaman dan pemberian
dariMu semata-mata. Tanpa sandaran kepada usaha dan ikhtiar pada diriku,
melainkan ia berjalan di atas kehendak dan qada’ takdirMu.
Alhamdulillah Ya Allah.
0 comments:
Post a Comment